Paling Popular
Terkini

Tahun ini merupakan kali kedua rakyat Malaysia - bahkan umat Islam di dunia - meraikan hari raya Aidilfitri dengan suasana berbeza susulan pandemik Covid-19 yang masih menjadi pemisah antara dua jarak, penghalang dua tangan berjabat.

Justeru kemeriahan 1 Syawal hanya dimaknakan dengan hanya lontaran senyum atau pesan dari jauh sebagai pengubat rindu.

Malah bagi sesetengah orang hari kemenangan umat Islam ini terpaksa dirai dengan rasa sepi yang lebih mendalam berbanding orang lain apabila mereka meraikannya tanpa seorang pun insan tercinta di sisi.

Sambutan hari raya dengan prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP) yang ditetapkan pihak berkuasa pastinya membataskan banyak hal.

Suasana sedih dan pilu antaranya dirasai golongan ibu bapa apabila tidak dapat menyambut kepulangan anak-anak dari perantauan susulan larangan rentas negeri oleh kerajaan.

Bagi ibu tunggal, Mah Abdul Rahman, 75, dari Kampung Serian di Kota Bharu, kedatangan Aidilfitri kali ini terpaksa disambut seorang diri apabila anak tunggalnya tidak dapat pulang ke kampung halaman.

Katanya, perasaan sedih memang menyelubungi diri apabila terkenangkan satu-satunya cahaya mata itu jauh berada di Kedah dan tidak dapat pulang menyambut Aidilfitri seperti selalu.

"Termasuk tahun ini, dah dua tahun saya beraya seorang diri. Biasanya anak perempuan saya akan minta cuti dan pulang beraya bersama tapi maklumlah, sekarang PKP.

"Kali terakhir saya jumpa anak saya pada bulan Januari lalu. Pun begitu ada perasaan rindu yang tidak terkata sebab dialah satu-satu anak yang saya ada.

"Dalam keadaan sekarang ni, hanya gambar dialah menjadi pengubat rindu," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.

Jiran ambil berat

Sejak suaminya meninggal dunia 12 tahun lalu memang di rumah itulah Mah meneruskan kehidupan. Anak tunggalnya mencari rezeki sebagai jururawat di Kedah.

Kata Mah memang anaknya ada mengajak agar tinggal bersama di utara sana tetapi perasaan sayang kepada kampung itu mendorong dia bertahan begitu.

Mah Abdul Rahman

Setiap hari kata Mah, anak perempuannya itu akan menelefon untuk bertanya khabar dan akan mengirim wang belanja secara berkala.

Sempena Aidilfitri kali ini, katanya, anak perempuannya itu mengirim wang lebih banyak dari biasa untuk membolehkan dia membeli kuih-muih raya.

"Mujurlah ramai juga saudara dan jiran terdekat dalam kampung ini mengambil berat terhadap saya," katanya.

Pada 27 April lalu Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata status PKP bagi Kelantan akan dilanjutkan sehingga 17 Mei ini berikutan kes jangkitan Covid-19 di negeri itu semakin meningkat.

Pada Isnis lalu pula Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP dilaksanakan di seluruh negara dan aktiviti rentas negeri atau daerah dilarang sama sekali kecuali membabitkan hal-hal kecemasan dengan keizinan pihak berkuasa.

Siti Aisyah Mat

Sementara itu di Kampung Perol, Kota Bharu, Siti Aisyah Mat, 57, yang hanya tinggal bersama suaminya Mhd Zahari Jusoh, 61, berkata dia terpaksa menerima hakikat anak-anaknya yang bekerja di luar negeri tidak dapat pulang ke kampung pada perayaan Aidilfitri ini.

"Terkenangkan hari raya yang tiba, saya berasa sangat sebak dan rindu apabila memikirkan anak-anak dan cucu-cucu yang jauh di perantauan.

"Perasaan sedih itu ada setiap hari, tetapi saya tak boleh buat apa-apa kerana SOP harus dipatuhi semasa PKP sekarang," katanya ketika ditemui Malaysiakini.

Aisyah berkata anak-anaknya, Mohd Khairi Zahari, 37; Siti Khairiah Zahari, 35; dan Siti Khalisah Zahari, 32; tidak dapat pulang menyambut Aidilfitri bersamanya tahun ini berikutan PKP yang dilanjutkan kerajaaan.

Bersiap ala kadar saja

Katanya, kali terakhir dia bertemu mereka yang sulung pada Dis tahun lalu.

"Saya jumpa anak sulung saya bulan 12 tahun lepas, dua lagi anak saya bekerja. Masing-masing menetap di Kuala Lumpur dan Perak.

"Biasanya mereka akan balik setiap kali hari raya tapi keadaan Covid-19 kali ini tak mengizinkan," katanya.

Aisyah yang juga nenek kepada dua orang cucu menyatakan sebaknya apabila memikirkan perasaan rindu kepada dua orang cucu kesayangannya yang berada di Perak.

"Saya ada dua orang cucu di Perak. Perasaan rindu kepada cucu semakin terasa apabila dalam beberapa lagi nak raya.

"Biasanya, bila anak-anak dan cucu-cucu balik, saya akan membuat persiapan seperti nasi dagang dan kari kepala ikan sebab itu adalah makanan kegemaran mereka.

"Selepas makan, kami akan sama-sama sembahyang solat sunat Aidilfitri di Masjid Perol kalau sebelum musim PKP ini.

"Tapi kali ini, macam tahun lepas, kami hanya akan berbual menerusi telefon. Anak-anak akan telefon dan menanyakan khabar saya dengan suami," katanya dengan suara sebak.

Tambahnya lagi, persiapan Aidilfitri tahun ini dibuat ala kadar sahaja dengan menyediakan nasi berlauk serta ketupat.

"Dalam seminggu lagi nak raya, saya hanya bersiap dengan ala kadar sahaja. Mungkin akan buat nasi berlauk.

"Jiran-jiran terdekat ada ingin memberi makanan seperti ketupat dan kami akan sama-sama berkongsi makanan," jelasnya.

Lihat Komen
ADS