Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keganasan Israel: Anifah gesa Majlis Keselamatan PBB campur tangan
Diterbitkan:  May 16, 2021 2:16 PM
Dikemaskini: 6:18 AM

Masyarakat antarabangsa tidak boleh berdiam diri dengan membiarkan kekejaman yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin, kata bekas menteri luar, Anifah Aman.

Dalam satu kenyataan hari ini, Anifah meminta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertindak pantas dan tegas termasuk menuntut agar Israel menghentikan pencerobohan terhadap Palestin.

"Serangan udara baru-baru ini oleh Israel di Gaza yang mengakibatkan banyak kematian termasuk wanita dan kanak-kanak berterusan tanpa tindakan oleh masyarakat antarabangsa," kata Anifah.

Anifah yang berkhidmat sebagai menteri luar dari 2009 hingga 2018 di bawah pentadbiran Najib Razak, juga mendesak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) memainkan peranan dan memberi tekanan untuk memastikan Israel menghentikan pencerobohan dan keganasan terhadap rakyat Palestin. .

Dia juga meminta agar sekatan dilakukan terhadap Israel.

"Usaha maksimum harus dilakukan oleh masyarakat antarabangsa termasuk Majlis Keselamatan PBB dan OIC," katanya yang kesal kerana belum ada penyelesaian untuk mengakhiri kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.

Tambah Anifah, kerajaan Israel terus melanggar undang-undang antarabangsa dengan melakukan keganasan terhadap Palestin.

"Memang sangat membimbangkan apabila Israel terus tidak bertanggungjawab dan membenarkan justifikasi tidak masuk akal sebagai alasan untuk melanjutkan keganasan dan tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin," katanya.

Lihat Komen
ADS