Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bantahan 'Kerajaan Gagal': Mereka hanya berhimpun secara aman - Bersih
Diterbitkan:  May 17, 2021 4:46 PM
Dikemaskini: 8:47 AM

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menyatakan solidariti kepada golongan muda yang turun ke jalan bagi menyuarakan kritikan terhadap kerajaan.

“Kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan polis yang keterlaluan untuk membungkam suara anak muda di Parit Raja dan menahan mereka selama empat hari di bawah Seksyen 144, 269, 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan dan Seksyen 48 Akta Pengangkutan jalan (APJ) 1987.

“Mereka hanya mengamalkan hak mereka sebagaimana yang termaktub di dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, kebebasan untuk berhimpun dan bersuara tentang kegagalan kerajaan menangani masalah yang dihadapi oleh rakyat yang sedang tertekan akibat pandemik Covid-19,” kata Bersih dalam kenyataan hari ini.

Bagi Bersih, penahanan sekumpulan anak muda di Kampung Parit Raja di Batu Pahat baru merupakan tindakan terbaru melibatkan perhimpunan secara aman, selepas penahanan di Kampung Muhibbahraya di Tawau, Sabah.

“Sebagaimana dalam perhimpunan aman yang biasa, pihak polis sepatutnya membantu mereka yang berdemonstrasi terutamanya anak-anak muda supaya mereka berhimpun dalam keadaan aman.

“Biarkan mereka berhimpun dan kerajaan perlu duduk serta mendengar keluh kesah rakyat.

“Sekiranya kerajaan sensitif dengan keadaan ini, mereka perlu sedar bahawa ruang rasmi yang efektif bagi membincangkan situasi rakyat di bawah seperti sidang Parlimen yang ditutup menjadi sebab anak-anak muda membawa suara mereka ke jalan,” katanya.

Tambahnya, Parlimen adalah ruang terbaik kepada wakil rakyat untuk membangkitkan permasalahan dan membahaskan kaedah terbaik menangani isu-isu sosial dan ekonomi agar negara dapat mengatasi wabak Covid-19.

“Kerajaan perlu segera membuka Parlimen supaya wakil rakyat dapat memberikan maklum balas mereka secara rasmi agar kerajaan dapat memperbaiki tindakan mereka dalam menangani Covid-19.

“Penutupan ruang-ruang untuk rakyat bersuara secara bebas hanya akan menatijahkan aksi yang lebih keras dan berani daripada rakyat biasa,” kata Bersih lagi. 

Lihat Komen
ADS