Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
150 sukarelawan ditambah bantu kelancaran CAC di Selangor
Diterbitkan:  May 17, 2021 10:40 PM
Dikemaskini: 2:45 PM

Kerajaan Selangor bersetuju menambah sejumlah 150 sukarelawan bagi membantu kelancaran operasi Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Selangor khususnya CAC daerah Petaling di Stadium Malawati.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata sukarelawan yang terdiri daripada penjawat awam, penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), petugas perubatan SELCARE serta pelajar perubatan Universiti Swasta itu akan membantu pengurusan trafik, pengurusan pesakit Covid-19 serta penilaian pesakit.

"Kerajaan negeri turut bersetuju mewujudkan ‘calling centre’ (pusat panggilan) yang akan dilaksanakan oleh para sukarelawan perubatan bertujuan membantu mengurangkan beban di CAC bagi penilaian pesakit di rumah ataupun ‘home assessment’," katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu Amirudin berkata kerajaan negeri juga akan mewujukan kaunter khas bagi tujuan pemotongan gelang ataupun penamatan kuarantin di rumah.

Ini katanya selepas statistik mendapati 48 peratus pengunjung yang hadir ke CAC Stadium Malawati adalah bagi urusan pemotongan gelang kuarantin.

"Ini bagi mengurangkan kesesakan di CAC Stadium Malawati serta pada masa yang sama mengurangkan risiko jangkitan kepada mereka yang telah tamat kuarantin," katanya.

Amirudin berkata pihaknya turut mencadangkan agar klinik dan fasiliti perubatan swasta (CAC swasta) yang mempunyai pengamal perubatan diberi kebenaran melaksanakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) bagi membolehkan mereka memakaikan gelang kuarantin kepada individu positif Covid-19 serta kontak rapat.

Tambahnya, di Selangor terdapat 65 pengamal perubatan  yang diberi kebenaran melaksanakan HSO, manakala senarai CAC swasta akan dimaklumkan kemudian.

"Dengan pelaksanaan ini maka pesakit Covid-19 tidak perlu hadir ke CAC daerah tetapi boleh ke CAC swasta dan ini dapat mengurangkan beban di CAC Daerah terutamanya CAC Stadium Malawati," jelasnya.

Selain itu dia juga dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengenai penambahan kelengkapan ICU dan jumlah katil bagi pesakit Covid-19 di negeri itu.

"Sejumlah 300 katil dan wad ICU akan ditambah, manakala 1,300 katil akan ditambah di MAEPS Serdang.

"Kemudahan seperti 20 unit khemah lengkap dengan kipas, kerusi dan sistem P.A turut ditambahbaik di CAC Petaling yakni Stadium Malawati semenjak semalam lagi untuk keselesaan orang ramai," tambahnya.

Terdahulu, tular satu rakaman video menunjukkan berlaku kesesakan di CAC Stadium Melawati Shah Alam.

Stadium Malawati telah beroperasi sebagai CAC sejak 8 Februari dengan kapasiti antara 1,000 hingga 1,200 pesakit setiap hari.

Lihat Komen
ADS