Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wan Fayhsal: Saya bungkus nasi goreng kambing, berbual 15 minit
Diterbitkan:  May 18, 2021 3:01 PM
Dikemaskini: 7:01 AM

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Ahmad Kamal  menafikan spekulasi bahawa dia menjamu selera selama satu jam di sebuah restoran untuk menikmati nasi goreng kambing.

Spekulasi itu tercetus apabila pemilik restoran, Megat D Shahriman memuat naik hantaran di Instagram yang mendakwa Wan Fayhsal meluangkan masa selama satu jam di restorannya.

Menurut Megat, dia dan Wan Fayhsal berbual panjang mengenai kesengsaraan rakyat di Palestin. 

Wan Fayhsal memuat naik hantaran di Instagram (ig stories) dengan memuji nasi goreng kambing di restoran tersebut.

Berikutan itu, sesetengah warganet membuat spekulasi dan mempertikaikan masa yang lama diambil untuk menyediakan hidangan tersebut meskipun untuk dibawa pulang.

Ada juga yang meninggalkan kata-kata sarkastik terhadap situasi itu.

“Lepas ni bolehlah kita beli bungkus dekat kedai makan beramai-ramai dan duduk berborak selama sejam. Kalau penguatkuasa datang kita cakap kita take-away dan tengah bincangkan isu Palestin. InsyaAllah lepas. Sumber rujukan, menteri boleh je buat,” ciap pengguna Twitter dengan nama @MrHowitzer.

Pengguna @NazzirHussain pula berkata, “Nasi goreng kambing ke yang singgah makan tu kambing?.”

Mereka yang lain menyuarakan rasa tidak puas hati tempoh satu jam yang diambil untuk berada di restoran berkenaan kerana didakwa melanggar prosedur operasi standard (PKP).

Untuk rekod, ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikenakan di seluruh negara, makan di restoran tidak dibenarkan.

Pada jam 1 petang tadi, Wan Fayhsal menjawab kritikan terhadapnya secara langsung melalui ciapan pengguna @HermyRahim.

Katanya, dia membeli nasi goreng berkenaan untuk dibawa pulang dan hanya berbual dengan pemilik restoran itu selama kira-kira 15 minit.

“Terima kasih atas keprihatinan saudara @HermyRahim dan saudara saudari. Saya bincang isu Palestin sementara take away nasi yang sedap. Perbualan hanya +/- 15 mins.

“Kalau @PDRMsia perlu siasat, boleh hubungi pejabat saya dan rekod CCTV kedai. Harap kita dapat teruskan pematuhan SOP,” ciapnya.

Sejak wabak Covid-19 melanda, warganet mengawasi mereka yang melanggar SOP Covid-19, terutamanya di kalangan individu terkenal.

Terdapat banyak kritikan yang mendakwa hukuman yang dikenakan berat sebelah antara rakyat biasa dan golongan VVIP.

Lihat Komen
ADS