Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP Kulai gesa kerajaan tubuh lebih banyak pusat vaksinasi AZ
Diterbitkan:  May 23, 2021 3:29 PM
Dikemaskini: 7:29 AM

Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching menggesa kerajaan untuk menubuhkan satu lagi pusat vaksinasi AstraZeneca di Muar, Johor Utara, bersama satu lagi pusat tambahan di Pulau Pinang.

Dalam satu kenyataan hari ini, Teo berkata, kerajaan juga wajar mempertimbangkan untuk membuka satu lagi pusat vaksinasi di Kelantan bagi meningkatkan kadar vaksinasi negeri itu yang berada pada kadar 5.88 peratus setakat 22 Mei, berdasarkan perangkaan kerajaan.

Kenyataannya itu susulan pembukaan pendaftaran fasa kedua vaksinasi AstraZeneca secara sukarela tengah hari tadi, yang diperluas merangkumi pemohon di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak - iaitu kawasan yang mencatatkan kes positif Covid-19 yang tinggi.

“Memperluas pemvaksinan ke Sarawak, Pulau Pinang dan Johor adalah langkah yang wajar dipuji.

“Antara 9 Mei hingga 22 Mei, kita mencatatkan 66,353 kes Covid-19 baru. Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya masing-masing mencatatkan 23,170, 6,590 dan 203 kes, atau 45.2 peratus daripada keseluruhan kes,” kata Teo dalam kenyataannya.

“Sarawak di tempat kedua tertinggi selepas Lembah Klang, i.e. 6,799 kes atau 10.25 peratus sementara Johor di tempat ketiga tertinggi, i.e. 5,765 kes atau 8.7 peratus daripada kes keseluruhan.

“Bagaimanapun, tidak seperti Sarawak, kita hanya mempunyai satu pusat vaksinasi di Johor, i.e. Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor,” katanya.

Buat masa ini, jika dari kawasan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Pagoh untuk ke Johor Bahru, perjalanan paling cepat yang harus ditempuh seseorang penerima vaksin adalah selama sejam 35 minit, berbanding hanya 30 minit jika dia ke Muar.

“Memandangkan pelaksanaan PKP (perintah kawalan pergerakan), kerajaan PN wajar mempertimbangkan menubuhkan satu lagi pusat vaksinasi di utara Johor, bagi mengurangkan masa perjalanan dan kos,” tambah Teo.

Di Sarawak, mereka yang memilih untuk menerima vaksin AstraZeneca mempunyai pilihan sama ada untuk ke pusat di Kuching atau Miri - juga masih agak jauh untuk mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

Lihat Komen
ADS