Perkim sahkan pecat tiga pegawai kanannya
Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) hari ini mengesahkan tiga pemimpin kanannya telah dipecat tetapi menafikan berlaku sebarang pergolakan dalam pertubuhan itu.
Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) hari ini mengesahkan tiga pemimpin kanannya telah dipecat tetapi menafikan berlaku sebarang pergolakan dalam pertubuhan itu.
Perkim dalam satu kenyataan menjelaskan ketiga-tiga pemimpin kanannya itu dipecat pada hujung bulan lalu atas kesalahan melanggar disiplin dan peraturan pertubuhan itu.
Mereka ialah Datuk Noor Mohamad Backer Abu Bakar Backer (Naib Yang Dipertua Perkim kebangsaan merangkap Pengerusi Perkim bahagian Pulau Pinang), Abu Bakar Datuk Sidek (Setiausaha Kehormat Perkim Bahagian Pulau Pinang) dan Mohamed Saifudin Mohamed Ali (Bekas Setiausaha Agung Kehormat Perkim).
Menurut laporan Bernama, keputusan memecat mereka dibuat dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bilangan 1/44 pada 26 September lalu.
"Ketiga-tiga mereka dipecat keahliannya dan tidak lagi mewakili Perkim sama ada di peringkat kebangsaan, bahagian mahupun cawangan dan dalam apa jua urusan atas kesalahan melanggar disiplin dan peraturan pertubuhan," kata Bendahari Kehormat Perkim Lt Kol (B) Abdul Kadir Abdul Hamid dalam kenyataan tersebut.
Abdul Kadir juga menjelaskan, Puan Sri Laila Taib masih menjadi Ketua Wanita Perkim Kebangsaan merangkap Pengerusi Perkim Bahagian Sarawak manakala Datuk Siti Rahmah Kassim juga masih lagi memegang jawatan Pengerusi Perkim Bahagian Negeri Sembilan.
"Pihak Perkim menafikan sebarang kenyataan bahawa berlakunya pergolakan dalaman dan dakwaan yang kononnya Puan Seri Datuk Amar Dr Laila Taib dipecat adalah tidak benar. "Kedua-dua mereka masih kekal sebagai ahli Perkim,"katanya.
Menurut kenyataan itu berlaku kesilapan fakta berkaitan pemecatan ahli Perkim yang dilaporkan beberapa akhbar tertentu termasuk tarikh peletakan jawatan Tan Sri Taib Mahmud sebagai Yang Dipertua Perkim.
Tarikh sebenar peletakan jawatan Taib ialah pada 21 Januari lepas selaras dengan keputusan Mesyuarat Agung Perkim Kebangsaan yang menerima peletakan jawatan itu dan melantik bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengganti.
Perkim mengeluarkan kenyataan itu bagi mengulas kenyataan Noor Mohamad Backer bahawa Perkim bergolak berikutan pemecatan keahlian pemimpin kanannya beramai-ramai atas alasan melanggar disiplin pertubuhan berkuatkuasa 26 September lepas.

