Lee Kuan Yew meminta maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terhadap kenyataannya menuduh orang Cina di Malaysia dipinggirkan secara sistematik, tetapi pada masa yang sama beliau menempelak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Di dalam surat penjelasan kepada Abdullah berhubung dakwaan beliau itu, Kuan Yew telah meminta maaf kerana kenyataannya itu telah menyebabkan ketidakselesaan kepada Perdana Menteri.

Katanya perkara itu tidak langsung diingini beliau selepas melalui hubungan bermasalah selama sedekad dengan pemimpin sebelum Abdullah (Tun Dr Mahathir Mohamad).

"Saya minta maaf kerana apa yang saya katakan telah menyebabkan ketidakselesaan. Selepas sedekad hubungan bermasalah dengan pemimpin sebelum anda, perkara seperti ini tidak diingini langsung," katanya di dalam suratnya bertarikh 29 September yang diserahkan ke pejabat Abdullah di Putrajaya oleh Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia T. Jasudasen.

Salinan surat tiga muka surat itu difakskan kepada Bernama oleh Suruhanjaya Tinggi Singapura di sini semalam.

Minggu lepas, Abdullah telah menulis surat kepada Lee meminta beliau menjelaskan mengenai kenyataannya bahawa sikap Malaysia dan Indonesia terhadap Singapura dibentuk berdasarkan cara mereka melayan masyarakat Cina.

Lee berterima kasih kepada Abdullah berkenaan surat itu dan berkata beliau membuat kenyataan itu pada sesi dialog bebas dengan bekas Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat Larry Summers di hadapan ramai delegasi asing yang menghadiri mesyuarat IMF/WB.

Di dalam suratnya, beliau turut menyertakan transkrip bahagian berkenaan yang telah dilaporkan Reuters.

"Biar saya ringkasnya, kenapa anda mesti mempunyai kerajaan di Singapura yang betul-betul kukuh, teguh, berfikiran tajam dan tegas. Jiran-jiran saya mempunyai masalah dengan orang Cina.

"Mereka berjaya, mereka bekerja keras dan kerana itu, mereka dipinggirkan secara sistematik, malah di dalam pendidikan. Adanya kuota untuk menghalang mereka.

"Jadi anda perlu mendapatkan wang untuk ke luar negeri atau pergi ke universiti-universiti swasta yang telah diwujudkan. Jadi mereka mahu Singapura, dengan kata mudah, menjadi seperti orang Cina mereka, yang hanya menurut sahaja.

"Jadi setiap masa, kami mengatakan "Tidak" kepada beberapa cadangan untuk menutup Tambak dan membina jambatan, dia berkata "Anda tidak bekerjasama, anda hanya fikirkan diri sendiri". Tanpa sebarang alasan, kami tolak cadangan tutup tambak, yang selama hampir 100 tahun amat berguna kepada kami. Dia mahu membina jambatan baru kerana ia nampak cantik dan katanya kapal-kapal boleh lalu dan kontenanya boleh bergerak dari Pantai Timur ke Pantai Barat melaluinya.

"Tetapi kami kata tidak... jadi kami kata "Baiklah jika kamu boleh beri faedah bersama kepada kami, kami akan bersetuju". Tetapi anda perlukan kerajaan yang mampu, bukan hanya yang ada keberanian, tetapi juga kemahiran untuk berkata "Tidak" dengan cara tenang, sopan yang tidak menyebabkan mereka sehingga melakukan sesuatu yang bodoh," kata Lee.

Beliau berkata mengenai jambatan dan jambatan separuh untuk menggantikan Tambak Johor, Abdullah membuat keputusan bahawa kerajaan Malaysia jelas bahawa Malaysia menghormati perjanjian perundangan dan bertindak berdasarkan undang-undang antarabangsa.

"Ia menjadikan tidak perlu merujuk kepada ITLOS dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang boleh dielakkan. Sikap menghormati undang-undang ini adalah asas kepada hubungan jangka panjang antara kita," katanya.

Lee berkata beliau telah menjelaskan kepada wakil barat yang liberal yang mahu melihat pembangkang yang lebih kuat di Singapura, kenapa republik itu perlukan kerajaan majoriti yang kuat, bukan perikatan lemah yang boleh menjejaskan usaha mempertahankan kepentingan nasional.

"Singapura perlukan kerajaan yang kuat untuk mengekalkan hubungan baik dengan Indonesia dan Malaysia dan untuk berinteraksi dengan ahli politik Indonesia dan Malaysia yang menganggap Singapura sebagai orang Cina dan mahu Singapura "sensitif" mengikut permintaan mereka," katanya.

Lee, 83, memberitahu juga satu forum urus tadbir yang baik di Singapura pada 15 September lepas bahawa:

"Jiran-jiran saya mempunyai masalah dengan orang Cina. Mereka berjaya, mereka bekerja keras dan kerana itu, mereka dipinggirkan secara sistematik, malah di dalam pendidikan.

"Jadi mereka mahu Singapura, dengan kata mudah, menjadi seperti orang Cina mereka, yang hanya menurut sahaja.

Kenyataan ini menimbulkan bantahan di Malaysia dan Indonesia. Kementerian Luar kedua-dua negara telah memanggil wakil Singapura untuk menjelaskan kenyataan Lee.

Menteri Mentor itu berkata beberapa kali pemimpin Umno termasuk Dr Mahathir dan ramai lagi secara terbuka memberi amaran kepada Melayu Malaysia bahawa jika mereka kehilangan kuasa, mereka dikhuatiri mengalami nasib yang sama seperti Melayu di Singapura, yang mereka dakwa dipinggirkan dan didiskriminasi.

Beliau berkata dari semasa ke semasa ahli politik Malaysia menyerang Singapura berhubung isu dua hala, di mana beberapa orang memberitahu ahli politik di Singapura secara senyap untuk hanya menerimanya sebagai sebahagian politik Malaysia dan tidak bertindak terhadap serangan itu.

"Singapura faham dengan realiti politik Malaysia. Kami tidak pernah membantah terhadap serangan-serangan ini terhadap sistem pelbagai kaum kami atau polisi-polisi kami melainkan untuk menjelaskan kedudukan kami apabila perlu.

"Bagaimanapun, kami perlu menjelaskan kepada rakyat kami di peringkat akar umbi tentang masalah ini dalam hubungan dua hala kita. Jika tidak rakyat Singapura akan percaya bahawa kerajaan mereka sendiri melakukan kesalahan terhadap rakyat sendiri atau terhadap Malaysia.

"Bagi masyarakat antarabangsa, dengan begitu ramai kakitangan kedutaan asing atau wakil asing melaporkan tentang Singapura dan Malaysia, ditambah dengan puluhan ribu ahli perniagaan ekpatriat bekerja di kedua-dua negara, mereka ini akan membuat penilaian sendiri tentang keadaan sebenar tanpa peduli apa yang saya kata," katanya.

Lee berkata beliau tidak berkata apa-apa selain apa yang telah diperkatakan banyak kali sebelum ini dan hakikatnya beliau kurang berkata berbanding apa yang tertulis di dalam bukunya yang diterbitkan pada 1998.

Katanya beliau tidak ada niat untuk masuk campur dalam politik Malaysia dan malah beliau tidak mempunyai kuasa untuk mempengaruhi politik Malaysia atau menghasut orang-orang Cina di Malaysia.

Katanya sejak Abdullah menjadi Perdana Menteri pada November 2003, hubungan antara kedua-dua negara semakin baik di mana beliau yakin rakyat Malaysia dan Singapura saling menghargai.

Di dalam catatan tambahannya, Lee ada juga mengatakan berikutan tindakan Abdullah menulis surat kepadanya telah mendapat publisiti dan telah meminta jawapan daripadanya, beliau mesti mendedahkan surat ini kepada media selepas Perdana Menteri menerimanya.