Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bantuan RM1,000 pada semua penumpang dalam LRT bertembung semalam
Diterbitkan:  May 25, 2021 1:01 PM
Dikemaskini: 5:03 AM

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan memberikan bantuan khas RM1,000 dan bantuan sokongan lain kepada semua mangsa yang terlibat dalam insiden dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya yang bertembung di dalam terowong antara Stesen LRT Kampung Baru dan KLCC di Kuala Lumpur, malam tadi.

Pengerusi Kumpulan Prasarana Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata beliau telah berbincang dengan pengurusan tertinggi syarikat mengenai perkara itu.

Beliau berkata seramai 213 penumpang terlibat dalam insiden tersebut dengan 64 daripadanya dikejarkan ke hospital, sementara enam daripadanya sangat kritikal termasuk tiga mangsa memerlukan bantuan pernafasan.

“Kita telah buat keputusan, Prasarana akan keluarkan bantuan khas kepada semua 213 penumpang ini, kita akan membantu dengan memberikan sebanyak RM1,000 setiap orang, tanpa mengira keadaan mereka sama ada serius atau tidak.

“Selain itu, kita akan beri bantuan khas kepada mangsa yang dimasukkan ke hospital, kos perubatan, rawatan sejak mula masuk sehinggalah pulih semula. Insya-Allah kita akan beri mereka bantuan perubatan,” katanya pada sidang media selepas melawat lokasi insiden tersebut di sini, hari ini.

Dalam laporan media semalam, kejadian yang berlaku pada 8.45 malam itu, menyebabkan 47 penumpang parah manakala 166 lagi cedera ringan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS