story image
mk-logo
Berita
Perkhidmatan Tajuddin sebagai pengerusi Prasarana ditamatkan
Diterbitkan:  May 26, 2021 11:36 AM
Dikemaskini: 12:40 PM

Perkhidmatan Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) ditamatkan berkuat kuasa serta merta.

Perkara itu dinyatakan dalam sepucuk surat yang ditandatangani Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Menteri Kewangan Diperbadankan adalah pemegang saham tunggal Prasarana, yang memiliki banyak rangkaian pengangkutan awam Malaysia.

Ini termasuk laluan LRT Kelana Jaya, yang menyaksikan kemalangan pada hari Isnin selepas dua tren LRT bertembung - mengakibatkan 64 orang dikejarkan ke hospital - enam daripadanya dalam keadaan kritikal.

Surat Zafrul kepada Tajuddin beredar di kalangan pengamal media petang ini.

"Dimaklumkan bahawa Menteri Kewangan telah bersetuju agar perkhidmatan YB Dato's Sri sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) ditamatkan berkuat kuasa serta merta," tulis surat yang dialamatkan kepada Tajudin itu.

Ketika dihubungi, jurucakap Kementerian Kewangan mengesahkan surat itu.

Perkembangan ini hadir ketika Tajuddin mendapat kecaman susulan kenyataannya ketika mengendalikan sidang media mengenai kemalangan LRT baru-baru ini.

Tajuddin dipetik oleh Malay Mail sebagai berkata bahawa dia belum menerima surat penamatan perkhidmatan itu.

"Belum. Mahu tamatkan, tamatkanlah. Apa isunya? Apa isunya? Kalau mahu tamatkan, tamatkanlah. Terima kasih lah. Saya boleh buat kerja lain," katanya.

Malaysiakini sudah menghubungi Tajuddin untuk mendapatkan respons.

Selasa lalu, ketika menjawab pertanyaan wartawan mengenai situasi di lokasi kemalangan LRT berkenaan, Tajuddin berkata "normal ... hanya dua tren bersama, saling bercium ..." dan kemudian ketawa kecil.

Selain itu, kenyataan Tajuddin ketika menjawab soalan mengenai ketiadaannya di tempat kejadian pada malam selepas kemalangan berlaku turut mendapat kritikan di media sosial.

Kebanyakannya tidak senang dengan kenyataan "first thing in the morning" yang dibuatnya.

Tajuddin menjelaskan bahawa dia tidak pergi pada malam kejadian kerana dia baru saja selesai mesyuarat dan ingin bersiap untuk mendapatkan dos kedua vaksin Covid-19.

Cara Tajuddin mengendalikan sidang media itu kemudiannya mengundang gesaan agar dia berundur daripada Prasarana.

Setakat 7.30 malam tadi, petisyen yang menggesa pemecatan Tajuddin mendapat lebih 130,000 penandatangan.

Polis juga sedang menyiasat Tajuddin kerana tidak memakai pelitup muka ketika sidang media itu.

Lihat Komen (0)
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS