Penganalisis: Kuan Yew sebenarnya tidak minta maaf
Tindakan Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew meminta maaf terhadap dakwaannya yang orang Cina di Malaysia telah dipinggirkan secara sistematik semalam tidak menamatkan isu itu sebaliknya menimbul kan persoalan baru.
Tindakan Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew meminta maaf terhadap dakwaannya yang orang Cina di Malaysia telah dipinggirkan secara sistematik semalam tidak menamatkan isu itu sebaliknya menimbul kan persoalan baru.
Beberapa orang penganalisis yang dihubungi malaysiakini berpendapat, dalam suratnya itu, Kuan Yew bukan sahaja itu tidak menyatakan kekesalannya malah mengambil kesempatan untuk menjustifikasikan dakwaannya tempoh hari.
Penganalisis politik, James Wong Wing On berkata, permohonan maaf Kuan Yew itu hanya satu kenyataan kosong kerana beliau tidak menarik balik dakwaannya dan tidak menyatakan kekesalannnya.
Malahan katanya, bekas Perdana Menteri Singapura itu membangkitkan perkara-perkara lain termasuk sejarah pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad dan isu jambatan bengkok.
Kata Wong, Kuan Yew sebaliknya menekankan "tokoh-tokoh politik Malaysia termasuk Dr Mahathir dan Khairy Jamaluddin selalu memburuk-burukkan Singapura dengan menuduh orang Melayu di negara ini dipinggirkan.
Menteri Mentor Singapura itu juga katanya menjustifikasikan dakwaannya dengan menegaskan " apa yang saya lakukan ialah memberitahu anda apa yang anda praktikkan selama ini."
" Kita kena faham apa makna maaf, permohonan maaf kalau tidak disertai dengan perasaan kesal bukannya memohon maaf namanya,"ujar Wong lagi.
Bekas pensyarah, Rustam Sani juga sependapat dengan Wong bahawa Kuan Yew tidak ikhlas kerana tidak berasa bersalah mengeluarkan dakwaan itu di dalam forum yang dihadiri oleh orang asing.
" Dia tidak memohon maaf terhadap kata-katanya. Sebaliknya dia menjustifikasikan kenyataannya itu dengan mendakwa ia disebut di hadapan orang asing."
" Malah Kuan Yew berkata dia terpaksa mengeluarkan kata-kata itu kerana pemimpin Umno sebelum ini telah mendakwa orang Melayu Singapura dipinggirkan," tambah Rustam.
Menurut beliau lagi, kontroversi seperti ini akan muncul lagi pada masa depan kerana kedua-dua pihak akan menggunakan isu-isu seperti ini untuk meraih sokongan di negara masing-masing.
"Kedua-dua negara mengamalkan dasar perkauman dan akan membuat kenyataan berbaur perkauman dari masa ke semasa dan selepas itu akan memohon maaf demi kepentingan politik maisng-masing," kata Rustam lagi.
Bagaimanapun bekas pensyarah ekonomi-politik Universiti Kebangsaan Malaysai (UKM) P Ramasamy, pula berpendapat sebaliknya.
Beliau berkata apa yang dikatakan oleh Kuan Yew itu adalah satu fakta dan perlu diterima oleh semua pihak.
"Ia adalah satu fakta yang perlu diterima, usahlah kita merungut atau marah. Amalan ini sudah lama berlaku," ujarnya.
Beliau berkata, bukan sahaja orang bukan Melayu dipinggirkan di Malaysia, malah ramai orang Melayu tidak menekmati apa-apa faedah di negara ini.
" Tidak kiralah siapa yang membuat kenyataan tersebut, yang penting kita menerima hakikat itu dan berusaha menyelesaikannya. Usah pedulikan apa yang Kuan Yew sebut, sebaliknya kita mesti bertanya adakah rakyat Malaysia gembira, wujudkan perpaduan nasional dan integrasi kaum?" persoal Ramasamy. Berita asal

