Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lebih 6,000 tak hadir terima vaksin di N Sembilan

Seramai 6,200 penerima vaksin tidak hadir untuk menerima suntikan dos bagi fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di lapan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) COVID-19 di Negeri Sembilan sejak April sehingga hari ini.

Exco Kesihatan negeri S. Veerapan berkata antara alasan diberikan ialah mereka tidak menyemak aplikasi MySejahtera lalu terlepas temu janji ditetapkan.

"Selain itu janji temu di PPV jauh dari kediaman, warga emas pula sukar ke lokasi PPV kerana tiada yang boleh menghantar mereka, merupakan antara alasan lain yang diberi oleh mereka. Terdapat individu memberi alasan mempunyai kontak rapat atau positif COVID-19," katanya kepada pemberita selepas melawat PPV di Hospital UCSI, di Port Dickson hari ini.

Veerapan menasihatkan orang awam agar mengambil serius mengenai janji temu suntikan vaksin ini bagi memerangi pandemik COVID-19 yang semakin meruncing ketika ini.

Dalam perkembangan lain, Veerapan berkata terdapat lima hospital swasta di negeri ini turut dijadikan sebagai PPV antaranya hospital UCSI, Mawar Medical Centre, SALAM Senawang Specialist Hospital, Hospital KPJ Seremban dan Nilai Medical Centre.

"Manakala lapan klinik swasta tersebut adalah Klinik Anda Senawang; Poliklinik Damai Senawang; AMC Klinik Seremban 2; Klinik Icon Seremban 2; Klinik Daniel Seremban 2; Klinik Nisa Nilai; Klinik Desaria Nilai dan Klinik Dr Lee Nilai," katanya.

Sementara itu Veerapan berkata setakat ini terdapat 17 kluster aktif di negeri ini terdiri daripada empat kluster tempat kerja, empat kluster komuniti dan lima kluster dikaitkan dengan perhimpuan keagamaan serta dua kluster golongan berisiko iaitu kluster pendidikan dan pusat tahanan.

"Buat masa ini tiada lagi kluster ziarah Aidilfitri dikesan di Negeri Sembilan dan kebanyakan kluster yang ada pada hari ini adalah kluster tempat ibadat seperti masjid dan gereja," katanya.

Katanya, individu berusia 18 tahun hingga 60 tahun adalah golongan tertinggi dijangkiti COVID-19 di negeri ini berikutan mereka sering terdedah dengan urusan di luar rumah seperti bekerja, belajar dan melakukan aktiviti sosial.

Hari ini, Negeri Sembilan merekodkan 353 kes baharu COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif wabak itu di negeri ini sebanyak 24,166 kes.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS