Jawatan Presiden Perkim masih misteri
Krisis kepimpinan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) semakin "memeningkan" apabila beberapa orang bekas pegawai kanannya itu mendakwa status "Presiden" pertubuhan itu masih satu misteri.
Krisis kepimpinan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) semakin "memeningkan" apabila beberapa orang bekas pegawai kanannya itu mendakwa status "Presiden" pertubuhan itu masih satu misteri.
Menurut laporan akhbar baru-baru ini Presiden Perkim yang baru adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau dikatakan menggantikan Tan Sri Abul Taib mahmud pada 21 Januari lalu. Sebelum ini Dr Mahathir adalah Penaung Perkim.
Taib yang juga Ketua Menteri Sarawak telah menerajui pertubuhan itu sejak 18 tahun lalu.
Sebaik sahaja Dr Mahathir diumumkan sebagai Presiden barunya minggu lalu, krisis kepimpinan Perkim dilaporkan di akhbar-akhbar, kononnya lima pegawai kanan Perkim, termasuk isteri Taib, Puan Sri Laila Taib (foto atas) yang mengetuai Ketua Wanita Perkim dikatakan telah dipecat.
Bagaimanapun hari ini versi baru kemelut kepimpinan pertubuhan itu timbul apabila bekas Naib Presidennya, Noor Mohamad Backer Ahmad Backer mendakwa Mahathir tidak menewaskan Taib dalam mesyuarat agung pertubuhan itu pada Januari lalu.
Noor Mohamad (foto bawah) yang mengakui dipecat daripada jawatannya dalam pertubuhan itu pada Jun lalu menjelaskan, sebenarnya Mahathir dipelawa mengetuai Perkim apabila Taib berundur.
"Mesyuarat tahunan itu telah menerima usul mempelawa Tun Dr Mahathir menjadi Presiden Perkim bagi menggantikan Taib," katanya dalam sidang media hari ini.
Bagaimanapun katanya, para pegawai kanan Perkim tidak sepakat menerima resolusi itu.
" Kumpulan saya bersama Laila tidak bersetuju kerana adalah tidak wajar untuk menyuruh Taib melepaskan jawatannya,"katanya.
Kumpulan yang menyokong usul itu dikatakan tidak senang dengan kepimpinan Taib termasuk beberapa perubahan yang diperkenalkan oleh Ketua Menteri Sarawak itu.
Noor Mohamad juga memberitahu bahawa Dr Mahathir ada memberitahu Perkim beliau akan hanya menerima jawatan Presiden jika mendapat sokongan sebulat suara.
Sementara itu katanya, Taib pula dalam sepucuk surat pada Mac lalu
menyatakan kesediaannya meletakkan jawatan selepas tamat tempoh perkhidmatannya pada akhir 2007.
Ekoran dari itu katanya, pada Jun lalu kumpulan yang menyokong Dr Mahathir telah menubuhkan lembaga disiplin untuk menyingkirkan beliau bersama empat yang lain.
Beliau mendakwa, langkah menubuhkan lembaga disiplin itu adalah satu taktik untuk "merampas kuasa" dalam pertubuhan tersebut.
Menurutnya lagi, kini status kepimpinan Perkim masih terumbang ambing kerana tidak diketahui samaada Dr Mahathir telah dilantik sebagai Presiden atau masih sebagai Penaung.
" Bagaimanapun saya difahamkan Tun Dr Mahathir mempengerusikan mesyuarat majlis nasional Perkim pada minggu lalu," ujarnya.
Noor Mohamad berkata, beliau boleh menerima saiapa sahaja sebagai Presiden Perkim tetapi tidak bersetuju dengan taktik kotor yang digunakan bagi memecat beliau dan empat yang lain.
" Saya mahu berjumpa Tun Dr Mahathir dalam kapasitinya sebagai Penaung Perkim seberapa segera,"ujarnya.

