Media asing diminta jangan perbesarkan isu jerebu
Malaysia berharap media asing tidak membesar-besarkan isu jerebu hingga menjejaskan kemasukan pelancong asing ke negara ini.
Malaysia berharap media asing tidak membesar-besarkan isu jerebu hingga menjejaskan kemasukan pelancong asing ke negara ini.
Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia Mirza Mohammad Taiyab berkata, pendedahan meluas isu itu oleh media asing sebelum ini telah memberi kesan buruk kepada industri pelancongan negara sedangkan keadaan sebenarnya tidaklah seteruk yang dilaporkan.
"Keadaan berkabus merupakan masalah yang sentiasa berlaku di bandar-bandar besar di dunia malah di bandar yang diklasifikasikan sebagai bandar paling bersih.
"Saya masih ingat satu ketika sewaktu saya di Tokyo dan IPU (Indeks Pencemaran Udara) pada waktu itu antara 80 dan 100, dan tiada apa yang dikecohkan. Tetapi di sini, mereka menjadikannya sebagai isu besar," katanya bagi mengulas keadaan berkabus di negara ini sekarang.
Menurut laporan Bernama, Mirza berkata demikian pada sidang akhbar Persidangan Ekopelancongan Asia Pasifik 2006 (APECO 2006), yang akan diadakan dari 2 hingga 5 November di Taman Negara, Pahang.
Menurutnya, keadaan jerebu yang dialami sekarang hanya di tahap sederhana dan tidak membimbangkan.
Setakat ini katanya, situasi berjerebu ini belum lagi menjejaskan industri pelancongan tetapi berdasarkan pengalaman lepas, jerebu akan memberi kesan kepada industri itu jika keadaan bertambah buruk dan media asing memainkan isu itu.
"Kita berharap ia tidak menjadi lebih teruk," ujarnya lagi.
Ditanya mengenai langkah yang diambil Pelancongan Malaysia untuk memastikan ketibaan berterusan pelancong sewaktu jerebu, Mirza berkata mereka memberi lebih tumpuan kepada destinasi pelancongan yang bebas daripada jerebu.
"Kami bercakap lebih tentang kawasan yang tidak terjejas atau terjejas teruk. Kita mesti menonjolkan tempat-tempat ini kerana kami tidak mahu ia menjejaskan industri kita," katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Lee Choon Loong berkata sehingga kini persatuan itu tidak menerima laporan daripada anggotanya mengatakan mereka terjejas dengan situasi jerebu sekarang.
Mengenai persidangan itu, Lee berkata APECO 2006 hanya dihadkan kepada 160 peserta berikutan tempat yang terhad.
"Ini kali pertama persidangan besar diadakan di Taman Negara dan kami berharap dengan itu, kami akan mempromosikan Taman Negara pada peringkat antarabangsa," katanya.
Untuk maklumat lanjut, mereka yang berminat boleh melayari laman web www.apeco2006.com atau menghubungi 03-92876881.

