Tujuh pengarah baharu bagi jabatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan antara 61 pegawai kanan yang terlibat dalam pertukaran pasukan keselamatan itu berkuat kuasa mulai 1 Julai.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Zamri Yahya dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas dan Pengarah Pengurusan Bukit Aman Ramli Din sebagai Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, menggantikan Datuk Zainal Abidin Kassim yang dilantik Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).
Selain itu, Komisioner Polis (CP) Pentadbiran Jabatan Pengurusan Zaini Jass dilantik Pengarah Pengurusan Bukit Aman bagi mengisi jawatan ditinggalkan Ramli.
Ketua Polis Pahang Abd Jalil Hassan dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Timbalan Pengarah KDNKA (Gerakan) Azri Ahmad sebagai Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard manakala Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Mohd Kamarudin Md Din sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.
Supt Komunikasi Korporat PDRM Supt A. Skandaguru berkata selain mereka, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JPST) Azisman Alias masih kekal memegang jawatan itu namun beliau memangku pangkat CP.
Beliau berkata dalam kenyataan malam ini, Timbalan Pengarah JKDNKA (Pasukan Gerakan Khas) Datuk Mastor Mohd Ariff dilantik sebagai Timbalan Pengarah KDNKA (Gerakan) dengan memangku pangkat CP manakala Setiausaha PDRM Ramli Mohamed Yoosuf sebagai Ketua Polis Pahang dengan memangku pangkat CP.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah (Pelucuthakan Harta/Perundangan/Tahanan) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kamarul Zaman Mamat dilantik sebagai Ketua Polis Kedah dengan memangku pangkat CP dan Timbalan Ketua Polis Terengganu Rohaimi Md Isa sebagai Ketua Polis Terengganu dengan memangku pangkat Deputi Komisioner Polis (DCP).
Selain itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Othman Nanyan dilantik sebagai Setiausaha PDRM dengan memangku pangkat DCP.
- Bernama
