Selain potongan gaji menteri dan elaun penjawat awam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga perlu menyalurkan peruntukan "projek khas" untuk Jabatan Perdana Menteri bernilai RM1 bilion ke Akaun Amanah Bencana Covid-19.

Gesaan itu dibuat anggota Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dalam kenyataan hari ini.

Fahmi membangkitkan peruntukan itu yang diumumkan dalam Belanjawan 2021.

Pada tahun lalu, peruntukan itu dikritik sejumlah anggota Parlimen pembangkang antaranya kerana tidak mempunyai tujuan spesifik.

"sementara menunggu Parlimen dibuka semula, saya menggesa Perdana Menteri agar menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan satu Ordinan Darurat bagi memperuntuk semula peruntukan khas Perdana Menteri berjumlah RM1 bilion dari Belanjawan 2021 di bawah ‘projek khas’ untuk disalurkan secara terus ke Akaun Amanah Bencana Covid-19.

"Jumlah RM1 bilion ini jauh lebih besar berbanding elaun tiga bulan bagi 220 angggota Parlimen (dianggarkan dalam RM16.5 juta) dan akan dapat digunakan segera untuk menangani pandemik ini," katanya.

Menteri dan timbalan menteri tidak akan mengambil gaji selama tiga bulan, manakala elaun sejumlah 800,000 penjawat awam juga akan dipotong - bernilai kira-kira RM30 juta - untuk mengisi akaun itu.

Fahmi berkata dia juga sanggup untuk menyalurkan elaunnya ke akaun tersebut.

Bagaimanapun dia meletakkan pembukaan semula Parlimen sebagai syarat utama.

"Proses semak imbang yang telah tempang sejak Parlimen ‘dibekukan’ enam bulan lalu perlu dihidupkan semula, terutama dalam keadaan krisis pandemik yang berlarutan ini," katanya.

Parlimen digantung selepas pengisytiharan darurat yang berkuat kuasa pada 11 Januari lalu.

Kerajaan setakat ini enggan membenarkan Parlimen bersidang semula, mencetuskan dakwaan yang Muhyiddin menggunakan darurat untuk kekal berkuasa susulan majoriti sokongan yang dipersoalkan.