Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP pembangkang persoal peruntukan RM1 bilion 'projek khas' JPM
Diterbitkan:  Nov 30, 2020 2:16 PM
Dikemaskini: 6:16 AM

Dua ahli parlimen pembangkang hari ini mempersoalkan peruntukan RM1 bilion kepada 'projek khas' di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Menurut mereka peruntukan ini tidak wajar ketika negara menghadapi pandemik Covid-19.

"Projek khas RM1 bilion. Apa itu projek khas? Khas untuk perdana menteri (Muhyiddin Yassin) untuk membeli sokongan ahli-ahli parlimen untuk mengekalkan kuasa dia?

"Adakah itu projek khas yang disebutkan dan dimaksudkan dalam belanjawan?" soal Ahli Parlimen Stampin Chong Chien Jen ketika membahas Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, pemimpin DAP itu menyifatkan beberapa peruntukan di bawah JPM sebagai 'slush fund', iaitu peruntukan yang tidak mempunyai tujuan spesifik.

"Nampaknya, reform (pembaharuan) yang kerajaan Pakatan Harapan buat dalam 22 bulan ini iaitu penurunan kuasa dari perdana menteri telah diterbalikkan oleh kerajaan dan perdana menteri sekarang.

"Amalan 'cash is king' akan diwarisi daripada Pekan (Najib Abdul Razak) ke Pagoh (Muhyiddin)," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau menggesa kerajaan untuk memperincikan peruntukan RM1 bil kepada 'projek khas'.

"Butiran sini tunjukkan bahawa tahun ini sebanyak RM100 juta telah diperuntukkan. Bagi tahun 2021 sebanyak RM1 bilion diperuntukan bagi projek khas ini.

"Masalah di sini kita hadapi ialah ketelusan butiran yang mana dipanggil projek khas. Tapi apa perincian dalam projek khas ini sehingga mencecah RM1 bil kita tidak tahu.

"Harus kita ingat bahawa parlimen ini bertanggungjawab bahawa tidak ada satu sen duit rakyat boleh dibelanja tanpa kelulusan Dewan Rakyat.

"Oleh itu, untuk meluluskan peruntukan RM1 bil untuk projek khas ketika musim Covid-19 ini tidak wajar," katanya.

Lihat Komen
ADS