Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Exco kesihatan: S'gor hanya terima 615,000 dos vaksin, bukan 2.9 juta
Diterbitkan:  Jun 3, 2021 9:24 PM
Dikemaskini: 1:24 PM

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) hanya menerima sekitar 615,000 dos vaksin Covid-19, bukannya 2.9 juta dos, setakat 1 Jun lalu, menurut exco kesihatan negeri itu Dr Siti Mariah Mahmud.

Dia mengulas laporan berhubung data daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) pada 30 Mei, yang membayangkan lebih dua juta dos vaksin Covid-19 telah digunakan di Selangor.

"Saya telah merujuk isu ini kepada JKNS dan JKNS mengutarakan bahawa setakat ini vaksin yang diterima oleh Selangor adalah tidak mencukupi.

"Maka, tidak timbul isu Selangor mendapat bekalan sebanyak 2.9 juta dos vaksin dan adalah mustahil untuk Selangor mempunyai lebihan 2.5 juta dos untuk disimpan," katanya dalam kenyataan hari ini.

JKNS terletak di bawah Kementerian Kesihatan (KKM). Pengagihan vaksin juga dikendalikan kerjaaan persekutuan.

Menurut Siti mariah, 515,210 dos vaksin yang diterima Selangor merangkumi Pfizer (434,070), Sinovac (146,440) dan AstraZeneca (34,700),

Daripada jumlah itu, katanya lagi, sebanyak 425,970 dos telah diberikan.

Dia berkata data Mosti yang dipetik dalam laporan laman CodeBlue tersebut tidak selari dengan statistik vaksin yang telah diterima dan disuntik di Selangor.

Katanya, terdapat percanggahan di mana ada negeri yang dinyatakan telah memberi dos vaksin melebihi jumlah yang diterima, menunjukkan data tersebut "tidak tepat dan sangat mengelirukan".

Menurut data Mosti, setakat 30 Mei, Kuala Lumpur telah menerima 215,280 dos vaksin tetapi telah memberikan 405,549 dos - perbezaan lebih 190,000 dos.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, yang juga bertanggungjawab dalam program vaksinasi, pada Isnin lalu memberitahu pengagihan dos dibuat berdasarkan populasi penduduk dan jumlah pendaftaran.

Dipetik CodeBlue, Khairy berkata pada masa sekarang lebih banyak vaksin diberikan ke negeri-negeri yang merupakan 'ground zero', khususnya Lembah Klang.

Selangor kini melaporkan empat digit kes Covid-19 setiap hari iaitu merupakan kes tertinggi di tengah peningkatan kes di seluruh negara.

Pada masa ini, kes baru harian di selangor kekal di paras empat angka.

Siti Mariah berkata, Selangor mampu memberikan lebih banyak dos vaksin namun ia tidak dapat dilakukan kerana jumlah vaksin yang diterima.

" Sehubungan itu, saya ingin menggesa supaya pelaksanaan Program Pemberian Vaksin dapat dijalankan secara telus dengan informasi data-data yang lebih tepat dan terkini," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS