Isteri bekas ketua polis Kemboja, Ngin Fotheavy berkata, suaminya, Heng Pov bimbang akan diseksa dan dibunuh jika pulang ke Kemboja.

Kerana itu beliau memfail permohonan habeas corpus dan memohon perintah sementara bagi menghalang Jabatan Imigresen Malaysia menghantar pulang Heng Pov bagi menghadapi tuduhan membunuh di negaranya.

Ngin Fotheavy, memfail permohonan itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi menerusi peguamnya Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud pada kira-kira 11.30 pagi.

Beliau menamakan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, ketua pengarah Jabatan Imigresen, Menteri Keselamatan Dalam Negeri, dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Fotheavy, yang kini mendapat pelindungan di pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Jalan Bukit Petaling dalam affidavitnya menyatakan Pov bimbang beliau akan diseksa dan dibunuh jika pulang ke Kemboja.

Beliau menyatakan suaminya, Pov, 51, memasuki Malaysia menerusi Singapura pada 1 September dengan menggunakan pasport diplomatik dan beliau telah memberitahu Kementerian Luar bahawa beliau akan tinggal di Malaysia selama sebulan bagi memudahkan permohonannya mendapatkan suaka politik di sebuah negara ketiga.

Pov ditahan pada Selasa di Bandar Sunway dan sepasukan polis dari Kemboja tiba semalam untuk menguruskan deportasinya kerana bekas ketua polis itu dikehendaki berhubung dua pembunuhan dan tiga percubaan membunuh.

Pada 18 September, beliau disabitkan kesalahan dan dikenakan hukuman tanpa kehadirannya, kerana konspirasi dalam kes berkaitan pembunuhan seorang hakim mahkamah munisipal, yang ditembak di Phnom Penh.

Sementara itu, Fotheavy dalam affidavitnya juga menyatakan bahawa pasport suaminya telah tamat tempoh pada 1 September dan sepasukan polis dari Bukit Aman menangkap Pov pada 3 September dan sejak itu polis dan pegawai imigresen enggan menyatakan di mana suaminya ditahan.

Nik Mohamed memberitahu pemberita beliau malah menulis kepada Kementerian Luar pada 29 September untuk melanjutkan tarikh sehingga menunggu keputusan permohonan suaka Pov tetapi setakat ini kementerian tidak memberikan respon terhadap permohonan mereka.

"Kami bimbang mengenai keselamatannya jika pihak berkuasa Malaysia memutus untuk menghantarnya pulang kerana bekas pegawai kanan itu percaya beliau tidak akan dibicarakan dengan adil di mahkamah Kemboja," ujarnya.

Nik Mohamed berkata jika pihak berkuasa Malaysia memutuskan untuk menghantar Pov pulang, ini melanggar undang-undang antarabangsa khususnya jika orang itu memohon suaka politik menerusi UNHCR.

Hakim Datuk Abdul Kadir Musa akan mendengar permohonan itu pagi esok.