Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kejayaan UK catatkan kematian sifar yakinkan k'jaan - Adham

Kejayaan United Kingdom (UK) merekodkan kematian sifar COVID-19 baru-baru ini meningkatkan lagi keyakinan kerajaan terhadap keberkesanan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang sedang dilaksanakan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Katanya pencapaian UK itu turut meningkatkan semangat kerajaan untuk memastikan pemvaksinan ke atas seramai mungkin penduduk di negara ini.

“Daripada data yang kita peroleh menunjukkan UK dengan program vaksinasi mereka telah mencatatkan zero death. Ini beri kita semangat bahawa vaksin yang diberi betul-betul menolong meningkatkan imuniti dan perlindungan.

“Oleh itu, penting untuk kita menyediakan vaksin kepada seramai mana penduduk yang boleh agar kes COVID-19 tidak sampai ke tahap serius,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau persiapan operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di Johor Bahru hari ini.

Empat hari lalu, media melaporkan UK merekodkan kematian sifar bagi COVID-19 untuk pertama kali sejak Julai tahun lepas, sekali gus membuktikan program vaksinasi yang dilaksanakan di negara itu sejak Disember tahun lalu berkesan.

Dr Adham berkata kerajaan kini melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan pemvaksinan ke atas penduduk termasuk membuka lebih banyak PPV.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan individu yang gagal menghadiri janji temu pemberian suntikan vaksin COVID- 19 agar turut membuat penjadualan semula menggunakan aplikasi MySejahtera.

Ini penting bagi memastikan hasrat kerajaan untuk mencapai imunisasi kelompok dalam kalangan rakyat tercapai, sekali gus menghentikan penularan pandemik berkenaan, katanya.

“Jadi mereka perlu ‘reschedule’ dalam MySejahtera dan kita akan tengok. Dalam masa sama, kita tiada masalah dengan vaksin yang dibekalkan kerana kita boleh buat simpanan untuk penerima vaksin seterusnya,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS