Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kadar agihan komputer riba 8.6 peratus, Fahmi bagi Radzi gred 'G-gagal'

Penghantaran 150,000 komputer riba kepada para pelajar seperti yang dijanjikan oleh kerajaan nampaknya tidak begitu lancar, dan kurang daripada 13,000 dihantar dalam tempoh masuk bulan keenam.

Mengulas hal ini, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, kadar penyampaian Menteri Pendidikan Radzi Jidin sebanyak 8.6 peratus akan dianggap gagal jika berdasarkan gred peperiksaan.

"Kadar penyampaian itu tidak masuk akal. Sekiranya Radzi mengambil ujian, dapat 8.6 peratus, dalam SPM itu G, gagal," kata Fahmi kepada Malaysiakini.

Pada akhir April, program Cerdik mengatakan sekitar 13,000 peranti telah dihantar, sementara Bernama memetik t Radzi mengatakan lebih daripada 13,000 komputer riba telah dihantar.

Program Cerdik sebelum ini juga mengatakan bahawa ia menyasarkan untuk 50,000 lagi pelajar mendapatkan peranti pada akhir Mei.

Bagaimanapun, semasa sidang akhbarnya hari ini, Radzi mendedahkan bahawa sehingga hari ini sebanyak 12,887 komputer riba dan tablet telah dihantar ke 95 sekolah.

Dia menambah bahawa 40,290 peranti lagi akan disalurkan kepada pelajar selewat-lewatnya pada 12 Jun, dan 96,823 komputer riba dan tablet selebihnya akan dihantar pada bulan September.

Namun, Fahmi menyatakan keraguan terhadap kementerian untuk mematuhi garis masa ini - membandingkannya dengan lambatnya pemberian vaksin di negara ini.

"Mereka terus mengatakan bahawa ia akan diberikan, tetapi tidak," kata ahli parlimen PKR itu.

Katanya, Radzi dan Kementerian Pendidikan perlu memikirkan semula mekanisme penyampaian program Cerdik.

"Sama ada itu atau Radzi harus mengundurkan diri," tambahnya.

Sekolah kini cuti penggal sehingga 14 Jun.

Selepas itu, sekolah akan beroperasi semula melalui kelas dalam talian selama 25 hari sehingga cuti sekolah berikutnya.

Walau bagaimanapun, banyak pelajar kemungkinan akan sukar untuk mengikuti kelas dalam talian ini.

Dalam laporan Utusan Malaysia pada bulan Februari, Kementerian Pendidikan melaporkan bahawa 1.85 juta pelajar atau 36.9 peratus tidak mempunyai alat untuk mereka mengikuti kelas dalam talian.

"150,000 peranti (di bawah program Cerdik) hanya sekadar merangkumi kira-kira 10 peratus," kata Fahmi.

Lihat Komen
ADS