Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO lapor polis, dakwa LGM mahu pajak tanah bawah harga pasaran
Diterbitkan:  Jun 7, 2021 10:39 PM
Dikemaskini: 2:39 PM

Sebuah NGO membuat laporan polis hari ini setelah mendakwa Lembaga Getah Malaysia (LGM) merancang untuk memajak tanahnya yang didakwa di bawah harga pasaran.

Dalam satu kenyataan hari ini, Sedar Malaysia mengatakan bahawa laporan polis dibuat untuk melindungi kepentingan awam memandangkan ia melibatkan dana awam bernilai berbilion ringgit.

"Apabila isu ini menjadi semakin serius, dua tindakan telah diambil oleh Sedar Malaysia. Tindakan pertama adalah laporan polis yang berkaitan dengan LGM oleh presiden Nazrin Norani di balai polis Wangsa Maju sebentar tadi.

"Sementara itu, aduan rasmi dihantar kepada pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) Wong Kah Woh, bersama dengan dokumen yang dimiliki oleh kami," kata Sedar Malaysia.

Ketika dihubungi, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Ashari Abu Samah mengesahkan menerima laporan mengenai kontroversi isu tanah.

"Pihak polis ada menerima laporan ini. Setelah diteliti pihak polis mendapati laporan ini perlu dirujuk kepada pihak SPRM untuk siasatan lebih teliti.

"Laporan polis ini akan dirujuk kepada pihak SPRM untuk tindakan lanjut," katanya dalam pesanan teks.

Malaysiakini telah cuba menghubungi Wong untuk mendapatkan ulasan.

Mengulas lanjut, Sedar Malaysia berharap PAC dapat melancarkan siasatan mengenai isu tersebut setelah darurat di seluruh negara tamat dan Parlimen tidak lagi digantung.

"Kami ingin menekankan bahawa kerana Parlimen tidak dapat bersidang, begitu banyak tuduhan melakukan kesalahan (melibatkan) menteri telah dikirim kepada kami," kata Sedar Malaysia.

Sedar Malaysia mendakwa mereka memiliki salinan dokumen yang berkaitan dengan rancangan LGM.

Sedar Malaysia turut mendakwa telah menjalankan penyiasatan, dengan demikian mempercayai ia mempunyai asas dalam membuat tuduhan tersebut.

Pada 28 Mei, LGM telah mengesahkan bahawa ia telah menerima tawaran untuk dua bidang tanah yang terletak di sepanjang Jalan Ampang di Kuala Lumpur. Namun, ia mengatakan belum ada kesepakatan yang dicapai.

Sementara itu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali dilaporkan membuat laporan polis berhubung dakwaan yang mengaitkannya dengan skandal tanah itu.

Lihat Komen
ADS