Malaysiakini
BERITA

Menara KL bakal dihiasai warna bendera Rusia pada Sabtu

Bernama

Diterbitkan
Dikemaskini 11 Jun 2021, 12:32 tengahari

Menara Kuala Lumpur (Menara KL), menara telekomunikasi ketujuh tertinggi di dunia akan diterangi cahaya lampu warna bendera Rusia pada Sabtu sempena Hari Rusia.

Paparannya akan bermula 8.30 hingga 9.30 malam, kata Kedutaan Rusia di Malaysia dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur..

"Ini adalah tarikh istimewa dalam sejarah moden negara kita, yang melambangkan sejarah, demokrasi dan transformasi ekonomi. Hari ini kita, warga Rusia, menunjukkan rasa hormat kepada tanah air kita, negara yang mempunyai sejarah melebihi seribu tahun dan kaya dengan warisan budaya, negara yang mempunyai hampir dua ratus kumpulan etnik, dan pengikut semua agama utama dunia," katanya.

Misi diplomatik Rusia di luar negara kebiasaannya akan mengadakan majlis resepsi dan pertemuan rasmi untuk meraikan hari penting ini, iaitu memperingati Perisytiharan Kedaulatan Negara Republik Sosialis Persekutuan Soviet (RSFSR) pada 12 Jun 1990.

Namun pandemik Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan di Malaysia tidak membenarkan sambutan seperti itu.

“Melihat Menara KL, menara komunikasi ke-7 tertinggi di dunia, diterangi sinaran cahaya lampu berwarna putih, biru, dan merah seperti warna bendera kebangsaan Rusia, akan menjadi hadiah bermakna untuk mereka yang bertutur bahasa Rusia di Malaysia.

"Sambutan sederhana ini akan menjadi kenangan kepada komuniti itu di negara ini kerana dapat berkongsi warisan dan budaya mereka yang dapat memperkukuhkan lagi persahabatan dan persefahaman antara rakyat Malaysia dan Rusia," kata kenyataan itu.

Kini terdapat kira-kira 300 warga Rusia dan hampir 2,000 yang bertutur bahasa ini di Malaysia.

- Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.