Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pemimpin Umno menafikan satu mesyuarat luar biasa melibatkan barisan menteri daripada parti itu dengan presiden, Ahmad Zahid Hamidi diadakan hari ini.

"Ini (khabar) palsu. Tiada mesyuarat seumpama itu dipanggil," menurut Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob yang juga menteri kanan.

Setiausaha Kerja Umno Mohd Sumali Reduan juga memberi maklum balas serupa ketika dihubungi Malaysiakini.

"Tiada mesyuarat. Hanya sekadar khabar angin," katanya.

Malaysiakini menghubungi beberapa pemimpin parti itu selepas laporan portal Suara TV hari ini mendakwa Ismail telah menghantar jemputan kepada menteri daripada Umno untuk mengadakan mesyuarat dengan Zahid di ibu pejabat parti itu di PWTC, Kuala Lumpur pada pukul tiga petang ini.

Laporan itu turut menyatakan telah menghubungi pegawai kepada beberapa menteri, yang tidak pasti akan tujuan perjumpaan itu, pada masa sama tidak menafikan ada jemputan berhubungnya.

Bagaimanapun, terdapat beberapa sumber lain - termasuk seorang yang berpangkat tinggi dalam Umno - yang mengesahkan perkara itu tetapi tidak mahu nama mereka didedahkan.

Salah seorang sumber berkata mesyuarat memang dijadualkan tetapi ia bersifat perbincangan tertutup.

"Tiada pengumuman mahupun kenyataan media akan dikeluarkan selepas pertemuan," katanya. Dia enggan memberi maklumat lanjut, termasuk agenda mesyuarat.

Seorang lagi sumber yang rapat dengan Zahid turut mendakwa ada undangan tersebut, tetapi berkata dia tiada maklumat lanjut kerana mendakwa mesyuarat itu dipanggil oleh seorang menteri, bukannya presiden Umno.

Lihat Komen
ADS