Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pakar dari agensi k'jaan sembah taklimat depan Raja-raja Melayu esok
Diterbitkan:  Jun 15, 2021 4:56 PM
Dikemaskini: 9:45 AM

Perbincangan Khas Raja-raja Melayu akan berlangsung di Istana Negara pada jam 2.30 petang esok.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata dalam sesi pertemuan khas tersebut beberapa pakar agensi kerajaan juga dijadualkan memberi sembah taklimat.

Katanya mereka akan memaklumkan hal-hal berkaitan isu kesihatan, keselamatan, politik dan ekonomi negara.

Menurut Ahmad Fadil sebelum ini Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sebelum ini berkenan menerima menghadap 18 pemimpin politik, sama ada secara bersemuka atau melalui maya.

Pertemuan itu katanya berlangsung sejak 9 Jun lalu hingga petang ini.

"Selain pemimpin parti politik Seri Paduka Baginda juga berkenan menerima menghadap Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 Ariffin Zakaria hari ini.

"Dalam sesi-sesi menghadap para pemimpin parti politik, Seri Paduka Baginda telah berkenan mendengar pandangan-pandangan daripada mereka tentang pelbagai isu," katanya.

Menurut Ahmad Fadil lagi sesi menghadap itu dibuat atas inisiatif serta keprihatinan tinggi Al-Sultan Abdullah dan berkaitan dengan usaha memerangi penularan jangkitan wabak Covid-19 serta pelaksanaannya semasa darurat.

Untuk rekod Agong mula berkenan menerima menghadap pemimpin utama parti politik negara mulai Rabu lalu dengan Presiden Bersatu merangkap perdana menteri, Muhyiddin Yassin, sebagai orang pertama.

Ia kemudian diikuti Presiden PKR Anwar Ibrahim, selain Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Pemimpin parti politik dari Sabah dan Sarawak pula menghadap Agong secara maya pada awal minggu ini.

Pertemuan itu berlangsung ketika pelbagai pihak termasuk dalam kalangan pemimpin Umno - yang menjadi sebahagian daripada kerajaan PN - mendesak agar parlimen dibuka segera.

Langkah itu kata mereka dapat memastikan berlaku semak dan imbang terhadap keputusan kerajaan PN. Demi meyakinkan kerajaan, pemimpin pembangkang berjanji untuk tidak membawa sebarang usul berkaitan keabsahan kepimpinan Muhyiddin.

Petang ini pula Muhyiddin membentangkan Pelan Pemulihan Negara dengan menyatakan pembukaan parlimen hanya dijangka akan dibuat pada Sept atau Okt nanti.

Lihat Komen
ADS