mk-logo
Berita
Hamzah: KDN arah Rela siasat kemungkinan penyelewengan data
Diterbitkan:  Jun 15, 2021 6:17 PM
Dikemaskini: 10:17 AM

Kementerian Dalam Negeri telah mengarahkan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) untuk menyiasat kemungkinan berlaku penyelewengan data, berikutan isu tular orang ramai didaftarkan sebagai anggota pasukan itu, tanpa pengetahuan mereka.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kementeriannya telah berhubung dengan jabatan tersebut, dan akan memberikan beberapa hari untuk Rela melakukan siasatan lanjut.

“Pihak kementerian akan menunggu laporan tersebut diserahkan dalam beberapa hari lagi,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan ke dua lokasi di Bukit Mertajam hari ini, di mana pihak imigresen memeriksa hampir 100 orang warga asing, termasuk pemegang kad UNHCR.

Sementara itu, pihak Rela dalam satu kenyataan hari ini menafikan bahawa mereka secara automatik mendaftarkan rakyat Malaysia tanpa pengetahuan atau persetujuan mereka.

“Rela maklum akan kegusaran orang ramai dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti tatacara pendaftaran keanggotaan yang dilaksanakan sebelum Akta 752 berkuat kuasa.

“Rela tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak atau individu yang secara sengaja memproses atau menggunakan data peribadi seseorang bagi tujuan tertentu tanpa mendapat kebenaran individu terbabit,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS