Susulan pembekalan vaksin lebih banyak bermula bulan depan, Kelantan disasarkan bakal mencapai imuniti berkelompok membabitkan 1.2 juta penduduk pada Oktober nanti.

Selain itu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya turut memberi jaminan sebanyak lebih setengah juta dos bekalan vaksin akan dibekalkan kepada negeri itu pada bulan depan.

Menurutnya, ia akan dicapai jika kapasiti pembekalan vaksin berjalan lancar termasuk penambahan pusat pemberian vaksin (PPV) awam, klinik dan hospital swasta.

"Di Kelantan ada cadangan supaya dibuka lima lagi PPV Awam iaitu di Bachok, Kota Bharu, Machang, Pasir Mas dan Kuala Krai serta penambahan PPV klinik dan hospital swasta.

"Dengan semua kapasiti ini saya percaya dan yakin bahawa jika bekalan vaksin itu sampai, kita akan selesai suntik populasi penduduk dewasa yang disasarkan pada Oktober.

"Kita harap lengkap 1.2 juta penduduk, tolak diaspora (perantau)," katanya pada sidang media selepas mesyuarat penyelarasan jawatankuasa program imunisasi Covid-19 kebangsaan peringkat negeri yang dipengerusikan Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Mengulas lanjut menteri penyelaras program imunisasi Covid-19 kebangsaan itu berkata, berdasarkan peningkatan suntikan harian di Kelantan pihaknya yakin sasaran tersebut berjaya dicapai.

Kata Khairy, peningkatan itu termasuk melalui program outreach yang dirancakkan di Kelantan termasuk dalam kalangan mereka yang tidak berdaftar melalui aplikasi MySejahtera.

"Saya melihat perkembangan imunisasi di Kelantan sangat baik dengan peningkatan kadar suntikan harian mencecah sebanyak 12,000.

"Saya yakin dan percaya sasaran kerajaan negeri untuk melakukan suntikan 30,000 sehari tercapai. Sekarang ini ia membabitkan bekalan vaksin dan bulan depan, kita akan menghantar 550,000 dos vaksin ke Kelantan.

"Jumlah dos itu membolehkan Kelantan meningkatkan jumlah suntikan. Sekiranya tidak mampu mencapai 30,000 sehari, sekurang-kurangnya ia mampu meningkatkan jumlah suntikan vaksin," katanya.