Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kilang elektronik didakwa eksploitasi pekerja warga asing
Diterbitkan:  Jun 20, 2021 6:52 PM
Dikemaskini: 10:52 AM

Pembekal perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) terbesar di Malaysia, ATA Industrial (M) Sdn Bhd (ATA IMS) dituduh mengeksploitasi pekerja warga asingnya, dengan membuatkan mereka bekerja melebihi masa yang sepatutnya dan tinggal dalam keadaan yang tidak wajar.

Syarikat itu mengundang perhatian media antarabangsa selepas seorang pekerja mendakwa perlu bekerja lebih masa (overtime) selama 186 jam dalam tempoh sebulan.

"Kerjanya sangat susah, masa kerja sangat panjang dan kami tiada ruang untuk diri sendiri - tetapi kami perlu sara keluarga.

"Kami hanya ingin minta keadaan yang lebih baik. Sangat susah berkongsi bilik dengan 60 orang lain. Anda tiada ruang untuk diri sendiri," kata seorang pekerja warga Nepal seperti dipetik akhbar United Kingdom, Sunday Mirror.

"Kami tiada tempat untuk memasak. Kami tiada tempat simpan barang dan kena gantung pakaian di hujung katil," katanya lagi, sambil mendakwa keadaan tandas yang kotor juga menambah lagi kesukaran yang dihadapi.

Slip gaji yang dilihat akhbar itu menunjukkan dia membuat kerja lebih masa selama 186 jam dalam masa sebulan, manakala seorang lagi pekerja berkata dia bekerja lebih masa selama 175 jam.

Ia bertentangan dengan Peraturan-peraturan Kerja (Had Kerja Lebih Masa) 1980 yang mengehadkan kerja lebih masa kepada 104 jam sebulan.

Aktivis hak pekerja asing Andy Hall telah memfailkan petisyen di Pihak berkuasa Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) untuk menyiasat ATA IMS selaku pengeksport barangan EMS di negara itu.

Dalam sepucuk surat bertarikh 14 April, pegawai CBP Therese M Randazzo berkata: "CBP telah menilai petisyen dan menetapkan maklumat yang diberikan memadai untuk merit dakwaan ini.

"Jika CBP mendapati maklumat memadai dengan nilai ambang ditetapkan, CBP akan mengeluarkan arahan sekatan (Withhold Release Order)," katanya lagi.

Dalam satu kenyataan, pengurus kanan ATA IMS Jivanadham Kavita Kaushaliya menafikan dakwaan yang syarikat itu mengeksploitasi pekerja.

Katanya, syarikat itu dengan tegas mematuhi undang-undang dan peraturan buruh tempatan berkaitan pengambilan pekerja, gaji minimum, waktu kerja lebih masa dan dasar tiada pekerja kanak-kanak.

"Syarikat menyediakan penginapan hostel untuk semua pekerja asing yang menepati standard buruh antarabangsa dan diaudit secara kerap oleh pelanggan global dan multinasional utama kami," katanya lagi.

Selepas ATA IMS dihubungi untuk mengulas dakwaan itu, para pekerja dilaporkan dipindahkan ke hostel lain dan diberitahu telefon bimbit kini dilarang di kawasan kilang.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS