mk-logo
Berita
MMA gesa kerajaan siasat dakwaan 'pihak swasta' jual vaksin
Diterbitkan:  Jun 23, 2021 9:37 PM
Dikemaskini: 1:37 PM

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa siasatan dilakukan terhadap "syarikat swasta bukan terbabit dalam penjagaan kesihatan" yang menjual vaksin Covid-19.

Presiden MMA Dr Subramaniam Muniandy mendakwa syarikat itu menjual vaksin dengan harga RM400 untuk dua dos dan menggunakan fasiliti penjagaan kesihatan swasta untuk melakukan proses vaksinasi tersebut.

"Sekiranya memang dakwaan mengenai vaksin yang dijual secara persendirian ini terbukti benar, tindakan tegas harus diambil terhadap syarikat swasta itu dan fasiliti penjagaan kesihatan swasta yang terlibat.

"Kami mendesak pihak berwajib serta Majlis Perubatan Malaysia (MMC) untuk melakukan siasatan penuh mengenai perkara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Subramaniam, semua vaksin Covid-19 yang kini terdapat di Malaysia diimport oleh kerajaan dan diberikan secara percuma mengikut Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Bagaimanapun, dia tidak menyebut nama syarikat yang terlibat atau mendedahkan maklumat lanjut mengenai dakwaannya itu.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin untuk mendapatkan respons balas serta Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Noor Hisham juga merupakan Presiden MMC iaitu merupakan badan berkanun yang mengatur profesion perubatan di negara ini.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS