Paling Popular
Terkini
story images
story images

ULASAN | Amat penting persoalan kenapa fatwa berkenaan "Amanat Haji Hadi Awang" di Banggol Peradong, Terengganu pada 1981 telah dipadamkan dari portal Jakim dijelaskan kerana implikasi perundangan dan agama amat meluas.

Saya telah menerima banyak soalan kerana setelah berapa lama persoalan ini ditimbulkan pihak kerajaan masih membisu dan ini menimbulkan lebih banyak kekeliruan.

Amanat Haji Hadi sejak  40 tahun dahulu yang telah menjatuh hukuman mengkafirkan  sesama Islam telah menyebabkan perpecahan dahsyat  yang mendalam dalam kalangan masyarakat Islam Melayu khususnya di Terengganu  dan pantai Timur.

Kesannya telah menyebabkan suami isteri berpisah, ada yang terpaksa diakad nikah semula , keluarga terputus sillaturahim, sembahyang dua imam berlaku dan masyarakat pulau memulau satu antara lain.

Satu lagi kesan yang serius adalah melibatkan kematian iaitu ketika berlaku rusuhan Memali, ada pihak tertentu telah mengistiharkan penyokong PAS yang terkorban mati syahid  kerana dipengaruhi amanat tersebut.

Insiden Memali tahun 1985 adalah di antara pengaruh hasil doktrin Amanat Haji Hadi  pada 1981 di Banggol Peradong.

Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Malaysia telah menetapkan mereka yang terkorban di Memali bukan mati syahid  dan wajib dimandi dan dikapankan. Ketetapan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan juga menetapkan mereka yang terkorban merusuh sebagai bughah atau penderhaka menentang kerajaan yang memerintah.

Baru-baru ini, Haji Hadi menyatakan haram untuk menentang kerajaan apabila beliau dan PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan. Kalau dahulu dibolehkan menentang kerajaan kerana kononnya perlembagaan dahulu adalah perlembagaan penjajah, perlembagaan kerajaan Melayu Islam hari ini pun masih perlembagaan yang sama dahulu.

Ini adalah isu yang amat besar dalam sejarah negara Malaysia berpunca daripada amanat tersebut.

Satu penjelasan  perlu diberi oleh pihak Jakim apabila berlaku pemadaman fatwa Amanat tersebut daripada portal Jakim.

Penjelasan menteri agama

Apakah status fatwa terbabit hari ini kerana isu besar tersebut tidak boleh diketepikan begitu sahaja dengan senyap senyap.

Ketetapan Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam telah mengistiharkan tuduhan mengatakan  seseorang yang beragama Islam kafir adalah haram.

Menteri  agama Malaysia hari ini adalah bekas seorang  Mufti Wilayah Persekutuan dan juga berasal dari Terengganu di mana kesan Amanat Haji Hadi amat mendalam dan meluas.

Menteri agama juga tidak boleh menganggap ia perkara kecil kerana beliau berada di tengah tengah masyarakat Terengganu yang diporakperandakan serta bergelora hebat akibat amanat tersebut.

Jakim adalah agensi di bawah Kementerian Agama dan rakyat menunggu serta mengharap satu penjelasan untuk menyelesaikan segala kekeliruan dari Menteri.

Penjelasan oleh pegawai Jakim bahawa Amanat tersebut dipadamkan kerana Haji Hadi hari ini telah berada di dalam kerajaan adalah suatu hujah yang susah diterima akal atau difahami oleh semua pihak.

Menteri agama perlu jelaskan apakah status Amanat Haji Hadi hari ini atau adakah Haji Hadi telah menarik  balik amanat tersebut ?

Amat berbahaya implikasinya jika isu ini tidak diperjelaskan. Baru baru ini Haji Hadi telah banyak mendesak rakyat menentang musuh Islam dan menuduh kerajaan Pakatan Harapan yang memerintah 22 bulan memusuhi Islam tanpa  memberi hujah contoh yang spesifik atau apa-apa bukti.

Bagaimana pula keadaannya jika Haji Hadi yang kini di dalam kerajaan mengeluarkan amanat yang baru tentang memerangi musuh Islam mengikut selera pandangan perspektif beliau?

Kalau keputusan Jawatankuasa Fatwa Malaysia dahulu, yang telah membuat ketetapan dan pendirian keatas Amanat Haji Hadi, boleh dipadamkan oleh Jakim adakah kuasa menteri agama boleh mengenepikan ketetapan Majlis Fatwa begitu sahaja ?

Satu tindakan terbaru pemimpin PAS yang berkuasa hari ini perlu kita renung bersama untuk di jadikan pedoman.

Walaupun titah DYMM Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja tentang perlunya disegerakan sidang Dewan Undangan Negeri dan parlimen diterima baik oleh lapan negeri, tetapi tiga negeri yang semuanya diterajui PAS tidak memberi apa apa kesanggupan atau komen. Inilah PAS hari ini.

Inilah sikap PAS hari ini terhadap Majlis Raja-raja yang menjadi ketua agama Islam iaitu agama rasmi negara .

Menteri agama perlu telus serta tegas dan menyatakan keadaan sebenarnya dalam isu pemadaman Amanat Haji Hadi dari portal Jakim.

Setelah Jakim padam Amanat lama Haji Hadi, mungkin akan keluar pula Amanat baru Haji Hadi untuk memerangi musuh Islam yang terdiri daripada orang Islam rakyat Malaysia sendiri. Perpecahan lebih besar dalam kalangan Melayu-Islam akan terus berlaku.

Akan muncul pulakah Amanat Haji Hadi bahagian kedua -selepas genap 40 tahun?


RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH RAJA AHMAD ialah pengerusi Amanah Terengganu dan anggota Dewan Negara.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS