Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang, menyeru Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya membenarkan kerja-kerja penyelenggaraan kolam renang komersial kawasan kediaman berstrata dijalankan.

Ini susulan kolam renang komersial memerlukan lebih kurang tiga kali penyelenggaraan dalam tempoh seminggu dan jika tidak, akan memberi implikasi kewangan kepada pemilik atau pihak pengurusan akibat kerosakan peralatan.

“Permohonan untuk kerja-kerja penyelenggaraan kolam renang sepanjang tempoh PKP 3.0 ini tidak dibenarkan dan alasan yang diberi adalah ia tidak dikategorikan sebagai sektor kritikal, sedangkan sektor ini dibenarkan beroperasi semasa PKP 1.0 dan PKP 2.0.

“Kalau penyelenggaraan berkala tidak dijalankan, pemilik akan menanggung kerugian, contohnya, strainers akan dipenuhi daun dan menyebabkan pam peredaran nyahfungsi.

“Penggantian pam peredaran sekitar RM2,000 hingga RM12,000. Air kolam juga perlu dilepaskan dan diisikan semula, kos terlibat kira-kira RM6,000 hingga RM8,000,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Chang menegaskan agar KPKT bersikap rasional dan menggubal dasar secara saintifik kerana penyelenggaraan kolam renang hanya melibatkan beberapa orang pekerja.

“Tambahan pula, KPKT telahpun membenarkan sektor Kredit Komuniti dan Pemberi Pinjam Wang (yang pasti akan melibatkan orang ramai) untuk beroperasi sebagai perkhidmatan perlu di bawah Kluster Kerajaan Tempatan.

“Maka, tiada alasan kenapa kerja-kerja penyelenggaraan kolam renang tidak dibenarkan beroperasi,”jelasnya lagi.