Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KKM: Lantikan pegawai perubatan ikut kaum bukan pendirian kami
Diterbitkan:  Jun 27, 2021 5:57 PM
Dikemaskini: 9:59 AM

Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan bahawa cadangan agar kerajaan mempertimbangkan lantikan pegawai perubatan mengikut garis perkauman bukan merupakan pendirian kementerian itu.

KKM berkata demikian bagi mengulas kenyataan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang menolak cadangan agar kerajaan menggaji pegawai perubatan tetap mengikut kaum.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Setiausaha KKM, Mohd Shafiq Abdullah berkata, perenggan pertama daripada kenyataan Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba pada 23 Jun lalu  menimbulkan kekeliruan dan salah tafsir.

"Sehubungan ini, Kementerian Kesihatan Malaysia ingin menjelaskan kekeliruan dan salah tafsiran yang berlaku berkaitan pernyataan di perenggan pertama kenyataan media Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum ini.

"Pernyataan di perenggan pertama tersebut bukanlah pendirian Kementerian Kesihatan Malaysia tetapi merupakan petikan intipati dan ulasan yang dibuat oleh Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) dan Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia menerusi keratan akhbar tersebut.

"Penjelasan Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai isu yang dibangkitkan oleh kedua-dua persatuan berkenaan dibuat mulai perenggan kedua dalam kenyataan media tersebut.

"Adalah diharapkan penjelasan ini dapat memperbetulkan kekeliruan dan salah tafsiran semua pihak mengenai ketelusan dan integriti Kementerian Kesihatan," katanya.

Semalam MMA menolak cadangan agar kerajaan membuat pertimbangan bagi menggaji pegawai perubatan baru mengikut kaum.

Ini selepas Presiden Persatuan PPPKAM, Dr Zainal Ariffin minggu lalu mengatakan kajian semula itu akan membolehkan lebih ramai lulusan perubatan "khususnya kalangan bumiputera" mendapat penempatan tetap dalam perkhidmatan awam, sekali gus mengurangkan pengangguran.

Adham dalam satu kenyataan pada Rabu, mengatakan kerajaan akan mengambil maklum cadangan tersebut. 

Adham berkata kerajaan masih mengambil lulusan perubatan, tetapi tidak mengatakan bahawa ia akan dilakukan berdasarkan kaum.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan hari ini, ahli politik DAP yang juga pengamal perubatan, Dr Boo Cheng Hau berkata, dia menyokong penuh kenyataan MMA dalam menolak cadangan pengambilan pegawai perubatan baru berdasarkan garis perkauman.

"Bidang perubatan merupakan salah satu bidang pekerjaan paling tidak perkauman di Malaysia, di mana kakitangan perubatan bekerja sama dalam memerangi wabak (Covid-19) tanpa mengira kaum," katanya.




Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS