Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Belum ada panduan pengudaraan tempat tertutup walau banyak kluster tempat kerja
Diterbitkan:  Jun 29, 2021 2:53 PM
Dikemaskini: 7:00 AM

Kerajaan setakat ini belum mengeluarkan garis panduan pengudaraan di tempat tertutup, seperti pejabat dan kilang, walaupun ia merupakan antara faktor utama dalam menghalang jangkitan wabak Covid-19.

Majoriti kluster baru yang diumumkan Kementerian Kesihatan (KKM) setiap hari adalam dalam kategori tempat kerja.

Semalam, 16 daripada 22 kluster baru adalah kluster tempat kerja. Ia termasuk lapan kilang, empat tapak pembinaan, tiga pasar raya dan satu kluster melibatkan pejabat.

Pada Jumaat lalu, Penasihat Hal Ehwal Kesihatan Awam Perdana Menteri, Dr Jemilah Mahmood berkata dia telah membangkitkan isu pengudaraan di banyak mesyuarat, dan menggesa ia dilaksanakan segera.

"Di setiap mesyuarat yang saya sertai, saya bangkitkan isu garis panduan pengudaraan dan betapa ia diperlukan segera.

"Saya menunggu Majlis Keselamatan Negara (MKN) melakukannya dengan kementerian-kementerian berkaitan. Ini sangat penting, Tolonglah KKM. Kita boleh belajar daripada pihak lain," katanya di Twitter pada 25 Jun lalu.

Pada 1 Mac lalu, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengeluarkan garis panduan terperinci berkenaan pengudaraan tempat tertutup bagi mengurangkan jangkitan Covid-19.

"Pemahaman dan kawalan dalam pengudaraan bangunan dapat menambah baik mutu udara tempat kita bernafas dan mengurangkan risiko kesihatan di tempat tertutup, termasuk menghalang virus yang menyebabkan Covid-19 daripada merebak di tempat tertutup," menurut garis panduan itu.

Di bangunan bukan kediaman, ia termasuklah menggunakan pembersih udara dengan kipas dan tapisan HEPA, memasang penyari udara dan membuka tingkap, menurut garis panduan itu.

Prosedur operasi standard (SOP) Safe@Work oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk industri pembuatan dan perkhidmatan yang dikeluarkan pada Mac lalu tidak menyentuh tentang pengudaraan.

Ia memetik garis panduan KKM sebulan sebelumnya. Garis panduan itu tidak menyebut tentang pengudaraan tetapi berkata majikan perlu sentiasan mengikuti maklumat terbaru berkenaan dasar pengurusan dan Covid-19.

Pada 25 Mei, kerajaan Singapura mengeluarkan garis panduan untuk pengudaraan di tempat tertutup termasuk pusat beli belah, pejabat, restoran, kedai runci, pasar dan hostel pekerja.

https://icf.newscdn.net/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/05/8c2be1e0d90c6df1e0d65a7970e9e302.jpg

Di Malaysia, kebanyakan premis ini terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Bagaimanapun, KPKT tidak memberi maklum balas kepada sejumlah pertanyaan daripada Malaysiakini, berhubung jika ia telah atau akan mengeluarkan garis panduan pengudaraan bagi premis di bawah tanggungjawabnya.

KPKT juga sebelum ini mengundang kritikan berkaitan kerja sanitasi awam yang dilakukannya, yang dikritik pakar sebagai tidak dapat menghalang jangkitan Covid-19 dan telah ditegah oleh WHO.

Inisiatif itu yang dikendalikan Jabatan Bomba dan Penyelamat antara lain menyembut disinfektan di jalan dan kaki lima.

Mengulas kritikan itu, menterinya Zuraida Kamaruddin berkata mana-mana pihak tidak patut meremehkan usaha tersebut, antaranya kerana "kita tidak tahu di mana kuman-kuman Covid-19 berada".

Dia bagaimanapun tidak memberi maklum balas apabila diminta mendedahkan perbelanjaan yang digunakan untuk perkara itu.

Lihat Komen
ADS