Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Wabak yang tetap memburuk walau dengan sekatan pergerakan penuh

Jun menjadi bulan paling ramai pesakit Covid-19 meninggal dunia di sebalik sekatan pergerakan penuh - dengan SOP yang lebih ketat - dikuatkuasakan sejak 1 Jun lalu.

Pada bulan ini sahaja, terdapat 2,374 kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan. Ia hampir dua kali ganda angka kematian pada Mei (1,289 kes).

Secara purata, 80 orang meninggal dunia akibat wabak ini setiap hari, atau 3.3 kematian setiap sejam.

Angka ini tidak termasuk mereka yang meninggal dunia akibat komplikasi lain setelah sembuh daripada Covid-19.

Bulan ini juga menyaksikan 242 orang dijangkiti wabak Covid-19 yang disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

Dengan kata lain, seorang daripada setiap 10 kes kematian Covid-19 meninggal dunia sebelum dirawat di hospital.

Bilangan kluster aktif - yang mencapai jumlah tertinggi pada pertengahan Mei - terus meningkat sepanjang bulan ini.

Sesebuah kluster dianggap tamat selepas tiada kes baru berkaitannya selepas 28 hari.

Kluster-kluster ini dipantau oleh pengesan kontak yang bertujuan mengenal pasti dan melakukan ujian kepada kontak rapat kes positif.

Jumlah kluster aktif yang meningkat dan perlu dipantau akan menjejaskan usaha mengesan kontak rapat.

Walaupun dengan sekatan pergerakan penuh, lebih banyak kluster baru dikenal pasti berbanding bulan sebelumnya.

Sebanyak 656 kluster dikenal pasti sepanjang Jun - peningkatan 23 peratus daripada Mei (533 kluster).

Setakat ini, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak lagi mengongsikan perkembangan melibatkan setiap kluster.

Berdasarkan kemas kini terkini daripada KKM kebanyakan kes baru di Lembah Klang diklasifikasikan sebagai "kes rawak" dan bukannya berkaitan dengan kluster.

Pada Jun juga, di saat kebanyakan tempat kerja ditutup, kluster tempat kerja (425) meningkat dua kali ganda berbanding Mei (219).

Pada bulan ini, terdapat dua kluster tempat kerja bagi setiap kluster lain. Kadar nisbah kluster tempat kerja dengan kluster lain adalah 1.37 sejak Januari hingga Mei.

Bilangan pesakit Covid-19 yang perlu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) boleh dikatakan tidak berganjak sepanjang Jun, dengan purata 893 pesakit setiap hari.

Trend sama dapat dilihat di kalangan pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan, dengan purata 447 pesakit setiap hari.

Angka ini tidak termasuk pesakit dalam ICU yang dikategorikan sebagai "disyaki" atau "berkemungkinan" dijangkiti wabak itu.

Bilangan sampel yang diambil daripada mereka yang disyaki positif pada Jun menurun 6.4 peratus daripada bulan sebelumnya.

Bilangan sampel yang dikumpul mencecah angka tertinggi pada akhir Mei dan awal Jun sebelum perlahan-lahan berkurang dalam minggu seterusnya.

Jumlah ini tidak sama dengan "ujian yang dibuat" dan bukan penentu langsung terhadap "kadar positif" kerana bukan semua sampel diuji pada hari sama.

Baca artikel ini untuk memahami lebih lanjut berkenaan kepentingan persampelan dan kadar positif.

 [Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS