Paling Popular
Terkini

GLOBAL | Pulau peranginan Phuket di Thailand hari ini menyambut ketibaan ratusan pelancong asing, menerusi projek perintis "Phuket Sandbox" untuk merancakkan semula industri pelancongan yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Buat pertama kali selepas 15 bulan, akhirnya pada 11.10 pagi (waktu tempatan) Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket menyambut ketibaan antarabangsa pertama, penerbangan Etihad dari Abu Dhabi yang membawa 25 penumpang.

Ia adalah penerbangan pertama dari empat penerbangan. Kira-kira 400 pelancong dari Doha, Tel Aviv, Singapura dan Abu Dhabi, yang sudah lengkap divaksin dijadual tiba di Phuket hari ini.

Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha berlepas ke pulau itu untuk melancarkan pembukaan semula pulau peranginan yang menjadi daya tarikan utama pelancong dalam dan luar negara .

Dia menggesa orang ramai untuk mematuhi peraturan dan langkah-langkah pencegahan untuk membolehkan lebih banyak destinasi pelancongan di negara itu dibuka semula pada pertengahan Oktober.

"Pembukaan semula Phuket merupakan langkah penting kepada usaha membuka semula pintu negara. Ia sekali gus membuka jalan bagi rakyat Thailand kembali menjalani kehidupan normal,” katanya di laman Facebooknya hari ini.

Di bawah pelan "Phuket Sandbox”, pelancong asing lengkap divaksin dibenarkan masuk tanpa perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari, tetapi perlu tinggal di pulau itu selama dua minggu sebelum boleh melakukan perjalanan ke wilayah lain di Thailand.

Pelancong asing yang dibenarkan adalah dari negara berisiko rendah dan sederhana, perlu memohon Sijil Masuk (CoE) dan membeli insurans perubatan merangkumi rawatan Covid-19 bernilai AS$100,000 dan juga negatif ujian RT-PCR untuk tempoh 72 jam sebelum berlepas.

Selain itu, pelancong asing mesti mempunyai sijil vaksinasi Covid-19 dengan vaksin yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan atau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak kurang 14 hari sebelum tarikh perjalanan.

Pihak berkuasa akan menutup semula Phuket jika kes harian Covid-19 meningkat kepada dua angka di pulau itu.

“Phuket Sandbox” menjadi model untuk wilayah pelancongan lain termasuk Chiang Mai, Chon Buri (Pattaya), Krabi dan Phang Nga dan Surat Thani (Koh Samui) yang dijangka dibuka pada Oktober.

Pelancong domestik yang mahu memasuki Phuket pula, mereka mesti mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin AstraZeneca atau dua dos vaksin jenis lain.

Di bawah inisiatif itu, kerajaan menyasarkan ketibaan kira-kira 100,000 pelancong asing pada suku ketiga tahun ini dan menjana pendapatan 8.9 bilion baht.

Jurucakap Kerajaan Anucha Burapachaisri berkata berdasarkan tempahan yang dibuat dengan enam syarikat penerbangan pada Julai, menyaksikan sejumlah 11,894 pelancong (8,281 pelepasan dan 3,613 ketibaan) melalui 426 penerbangan.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Thailand, Tanee Sangrat berkata setakat hari ini seramai 6,020 telah mendaftar untuk "Phuket Sandbox".

Katanya, sejumlah 3,034 sijil vaksin telah diluluskan sementara 1,379 CoE sudah dikeluarkan manakala 4,262 lagi permohonan sedang diproses.

"Sebanyak 323 CoE telah dikeluarkan untuk 1 Julai, 471 (2 Julai) dan 270 (3 Julai)," katanya di Twitter.

-Bernama

Lihat Komen
ADS