IGP ingatkan ahli politik tak buat mesyuarat secara fizikal
Polis akan membuka kertas siasatan terhadap ahli politik dan parti politik jika menerima maklumat berkenaan sebarang pertemuan secara fizikal sepanjang penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Menurut Sinar Harian, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani mengingatkan semua parti politik atau tidak berbuat demikian sepanjang PKP dan PKP diperketatkan (PKPD).
Menurut Acryl, dia yakin parti politik tahu akan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Namun, jika pihak polis menerima sebarang maklumat atau laporan mengenai perkara itu, kita pasti akan menyiasat dan membuka kertas siasatan," katanya seperti dipetik.
Kerajaan menguatkuasakan "sekatan pergerakan penuh" di seluruh negara bermula 1 Jun lalu.
Di bawah penguatkuasaan itu, semua pertemuan fizikal termasuk untuk urusan rasmi kerajaan dilarang.
Bermula 3 Julai lalu juga, PKPD dikuatkuasakan di mukim-mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur selama 14 hari.
Baru-baru ini, ahli politik Umno dilaporkan mengadakan pertemuan secara fizikal, termasuk di sebuah banglo di Jalan Bellamy dan Wisma Perwira - sebuah bangunan milik Kementerian Pertahanan - di Kuala Lumpur.
Pertemuan ini dipercayai berkaitan dengan spekulasi Umno merancang untuk membatalkan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional.

