Ismail tak dapat pangku tugas kalau PM letak jawatan - Kit Siang
Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang melihat peluang untuk Ismail Sabri Yaakob memangku jawatan perdana menteri jika Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai tipis.
Menolak kenyataan naib presiden Umno Khaled Nordin semalam, Lim menegaskan seluruh kabinet akan terbubar jika perkara itu berlaku.
“Apa yang lebih mengejutkan, kenyataan itu dibuat tanpa mempedulikan fakta perlembagaan bahawa kabinet akan terbubar selepas perdana menteri meletak jawatan,” katanya.
Justeru, katanya, yang akan berlaku adalah “kelumpuhan sebuah kerajaan kleptokratik di tengah-tengah negara sedang berperang melawan pandemik Covid-19”.
Semalam, Khaled berkata Ismail yang baru dilantik sebagai timbalan perdana menteri boleh mengambil alih jawatan perdana menteri sekiranya Muhyiddin meletakkan jawatan.
Katanya, Ismail boleh menjadi pemangku perdana menteri dan menjalankan tugas Muhyiddin.

