Anwar syor tubuh jkuasa khas kaji ekonomi bumiputera
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan ditubuhkan sebuah Jawatankuasa Bebas Mengkaji Pegangan Ekuiti dan Kemiskinan di Malaysia bagi melaporkan status sebenar kedudukan ekonomi negara.
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan ditubuhkan sebuah Jawatankuasa Bebas Mengkaji Pegangan Ekuiti dan Kemiskinan di Malaysia bagi melaporkan status sebenar kedudukan ekonomi negara.
Penasihat parti Keadilan berkata ini perlu untuk menghapuskan keraguan terhadap pegangan ekuiti bumiputera dan ketelusan kerajaan dalam perkara ini.
"Meskipun banyak pihak termasuk saya meragui kaedah penyelidikan Asli (Institut Kajian Strategi dan Kepimpinan Asia) sehingga memutuskan pegangan ekuiti bumiputera yang melonjak tinggi, namun langkah wajar adalah dengan usaha telus memperolehi angka dan data lengkap."
"Ugutan dan kenyataan melulu termasuk dari pimpinan kerajaan tambah mengeruhkan keadaan. Lebih dikesalkan ialah wacana isu ini telah menghangatkan prasangka kaum," katanya dalam satu kenyataan.
Anwar mengulas keraguan beberapa pihak terhadap data dan kaedah yang digunakan oleh Unit Perancangn Ekonomi (EPU) berhubung penguasaan ekuiti bumiputera hingga menyebabkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi amaran kepada semua pihak jangan mempertikai angka rasmi kerajaan.
Anwar berkata, sudah tiba masanya kerajaan melakarkan Agenda Ekonomi Baru yang bergerak melangkaui isu-isu perkauman, sebaliknya perlu menekankan daya saing negara dan keadilan sosial untuk semua.
Kerajaan memang telus
Semalam Najib yang juga Timbalan Presiden Umno menegur Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik yang mengeluarkan kenyataan sinis yang menggambarkan seolah-olah kerajaan tidak telus dalam isu ekuiti ekonomi antara kaum di negara ini dengan mempertikaikan kajian EPU.
"Kerajaan memang telus. Kenyataan itu ada beri gambaran seolah-olah kerajaan tidak telus," tegasnya.
Dr Lim mahu EPU mendedahkan kaedah kajian yang merekodkan penguasaan Bumiputera dalam ekonomi negara hanya sebanyak 18.9 peratus.
Beliau berkata pendedahan kaedah kajian perlu kerana sebagai sebuah parti komponen Barisan Nasional, Gerakan berpendapat ada yang tidak kena dengan angka 18.9 peratus itu kerana ia tidak menampakkan sebarang peningkatan berterusan sejak Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan pada 1970.
Najib juga berkata kerajaan tidak mempunyai masalah untuk mendedahkan kaedah itu sekiranya masih ada pihak yang sangsi.
"Kerajaan membuat kajian yang berasaskan kepada penelitian yang objektif. Kita tak ada masalah, tetapi janganlah ada sindiran kerajaan tak telus dan sebagainya," katanya kepada pemberita di sini.
Laporan tidak tepat
Najib turut menegaskan angka yang diperolehi adalah berdasarkan kepada angka keseluruhan bukan angka yang diubahsuai untuk kepentingan mana-mana masyarakat.
Isu penguasaan ekuiti bumiputera dalam ekonomi negara menjadi kontroversi apabila Asli mendakwa Bumiputera telah menguasai 45 peratus ekuiti, melepasi sasaran 30 peratus di bawah DEB.
Dakwaan Asli itu telah dikritik dan disangkal oleh pucuk pimpinan kerajaan termasuk Perdana Menteriu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana kajian EPU merekodkan Bumiputera hanya menguasai 18.9 peratus. Asli kemudian mengakui laporannya tidak tepat.

