Gembar gembur berhubung angka dan kaedah pengiraan ekuiti bumiputer di kalangan pemimpin Umno dan Gerakan hanya satu helah politik, kata bendahari Parti Keadilan Nasional (PKR) Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Sekarang mereka bercakap tentang angka dan data seolah-olah ia sangat penting tetapi sebenarnya pada masa yang sama mereka meneruskan kerja-kerja korup mereka."

"Mengapa sibuk menghitung sekarang? Nak dapatkan kiraan yang tepat tetapi pada masa yang sama terus menindas rakyat? Saya lebih suka rakyat diselamatkan daripada hanya mencari kiraan yang tepat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Khalid mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hujung minggu lalu yang mendakwa kerajaan telus dan bersedia mendedahkan kaedah kiraan ekuiti bumiputera yang digunakan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan sinis Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik berhubung jumlah pegangan ekuiti bumiputera sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilancarkan.

Isu ini meletus sejak Institut Kepimpinan dan Strategik Asia (Asli) mendedahkan hasil laporannya yang mendakwa pegangan ekuiti bumiputera telah mencapai 45, bukannya 18 peratus sebagaimana angka rasmi kerajaan.

Khalid berkata, samaada sasaran DEB sudah tercapai atau belum, orang Melayu dan Cina yang mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan telah menekmati faedah yang besar manakala rakyat biasa yang miskin terus terpinggir.

DEB disalahguna

Menurutnya lagi, parti pemerintah telah meraih faedah besar dari DEB melalui satu sistem yang tidak telus dan "dilindungi" oleh Akta Rahsia Rasmi (OSA).

"DEB telah disalahgunkaan untuk mengkayakan kroni dan rakan perniagaan mereka tetapi isu ini tidak dibangkitkan oleh Lim" ujarnya.

Khalid berkata, pemimpin-pemimpin politik ini telah mengunakan DEB untuk mengumpul dana politik mereka.

"Apabila begini keadaannya, bagaimana anda hendak minta mereka menolak DEB, mereka akan mempertahankannya sampai bila-bila," tambah beliau.

Ketua Pembangkang di Parlimen, Lim Kit Siang pula meminta Najib mendedahkan methodologi kiraan ekuiti berkenaan, bukan sekadar bercakap kosong kononnya kerajaan telus dan bersedia mendedahkan kaedah yang digunkan oleh EPU itu.

"Adakah Najib sengaja mencari alasan untuk menyorok kaedah dan data-data relevan dari pengetahuan rakyat Malaysia?" tanya Lim dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, mesyuarat kabinet Rabu ini patut membincangkan soal ini dan membuat keputusan samaada mahu mendedahkan kepada umum methodologi, data dan semua laporan berkaitan Rancangan Malaysia Kesembilan dan pegangan ekuiti korporat. Berita asal