‘Mungkin TPM boleh buat apa yang menteri kanan tak boleh’
Susulan pelantikan sebagai timbalan perdana menteri, Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh menggesa supaya Ismail Sabri Yaakob menuruti nasihat yang dinyatakan sendiri sebelum ini supaya berhenti berpolitik dan fokus kepada rakyat.
Yeoh membangkitkan beberapa percanggahan dalam prosedur operasi standard (SOP) yang dianggap tidak masuk akal apabila beberapa perniagaan dan premis tidak dibenarkan beroperasi ketika perintah kawalan pergerakan dilaksanakan.
“Kita kini mempunyai timbalan perdana menteri yang sebelum ini pernah membuat hantaran di Facebook berbunyi “Saya dah tutup pintu depan tapi….”.
“Dengan kuasa yang baru diperolehnya sebagai timbalan perdana menteri, saya menggesa Ismail Sabri untuk mendengar nasihatnya sendiri supaya berhenti berpolitik dan fokus membantu rakyat dengan segera memperbetulkan beberapa percanggahan dalam SOP,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Ismail berkata menggesa semua pihak terutama ahli politik supaya berhenti berpolitik, sebaliknya memberi fokus kepada usaha membantu rakyat yang sedang mengalami kesusahan akibat pandemik Covid-19.
Antara perkara yang dibangkitkan Yeoh merupakan penutupan kedai alat tulis yang dilihat menyulitkan mereka yang bekerja dari rumah dan pelajar yang menjalani pembelajaran dalam talian.
“Buku tidak jatuh dari langit dan kertas tidak terbang melayang.
“SOP yang membingungkan ini menimbulkan kesulitan kepada mereka yang terpaksa bergerak dari satu kedai ke kedai hanya untuk membuat salinan, mencetak atau membukukan dokumen,” katanya.
Dia juga menggesa supaya perkhidmatan kesihatan, kedai gunting rambut dan pusat kesihatan seperti kiropraktor serta ahli terapi berlesen dibenarkan beroperasi berdasarkan SOP tertentu.
Pada masa sama, dia mempersoalkan mengapa gerai di tepi jalan dibenarkan beroperasi tapi tidak kepada pasar pagi, kerana persekitaran di pasar raya yang tertutup kurang selamat untuk warga emas.
“Apa pun alasannya, timbalan perdana menteri kita tidak dapat memperbetulkan percanggahan SOP yang dinyatakan di atas ketika beliau menjadi menteri kanan yang bertanggungjawab di Majlis Keselamatan Negara.
“Saya berharap kedudukan baharu ini dapat memberikan beliau kuasa dan inspirasi yang diperlukan untuk memastikan kementerian yang berkaitan mempunyai lebih persefahaman,” katanya.
Menekankan isu percanggahan SOP itu, Yeoh berkata rakyat sudah tidak mampu lagi untuk duduk di rumah kerana ramai yang telah kehabisan wang.
“Buktikan yang anda berperanan Yang Amat Berhormat DPM dan jika tidak, pelantikan ini hanyalah wayang politik semata-mata,” katanya.





