Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jangan marah nyamuk bakar kelambu - PH
Diterbitkan:  Jul 13, 2021 3:34 PM
Dikemaskini: 7:34 AM

Jawatankuasa Ekonomi Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan mengubah fokus pengurusan pandemik Covid-19.

Jawatankuasa itu berkata kerajaan tidak perlu terlalu bergantung kepada pelaksanaan sekatan pergerakan secara umum, sebaliknya harus mengambil pendekatan bersasar dan sistematik melalui kaedah pengenalpastian pantas, pengasingan dan pengekangan jangkitan.

Kata jawatankuasa itu, perubahan strategi ini akan merintis langkah awal kepada pembukaan semula kegiatan ekonomi secara berperingkat yang akan memulihkan pasaran pekerjaan dan meredakan kebimbangan pelabur.

"Kegagalan dan impak ekonomi daripada siri sekatan pergerakan sebelum ini haruslah menjadi iktibar bahawa PKP bukanlah langkah terbaik untuk memerangi wabak Covid-19 dalam jangka masa panjang.

"Ia tak ubah seperti marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

"Kerajaan seharusnya perlu memikirkan langkah-langkah pencegahan penularan pandemik ini yang tidak memudaratkan masa depan negara dan kelangsungan hidup rakyat," kata jawatankuasa itu dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani bersama oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya-DAP, Tony Pua Kiam Wee, Ahli Parlimen Kuala Selangor-Amanah, Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, Ahli Parlimen Wangsa Maju,Tan Yee Kew, Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad, Pemuda Amanah, Ammar Atan dan Syeikh Khuzaifah Bawazeer serta wakil DAP, E Hun Tan dan Raja Iskandar Fareez.

Kenyataan itu dibuat selepas Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Jerman (MGCC) dan Dewan Perdagangan dan Industri Jepun Malaysia (Jactim) menyuarakan beberapa cadangan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, antaranya agar menyelaraskan pendekatan bersasar mesra perniagaan, serta menilai impak sekatan pada masa ini.

Dalam surat bertarikh 8 Julai, MGCC menggesa kerajaan menyelaraskan pendekatan bersasar bagi memboleh syarikat melindungi pelaburan dan kakitangan, serta membuat perancangan masa depan.

Mengulas lanjut, jawatankuasa itu berkata sasaran untuk membuka semula sektor ekonomi secepat mungkin tidak akan tercapai selagi kerajaan gagal mengekang penularan wabak di tempat kerja.

"Kewujudan kluster-kluster tempat kerja sepanjang tempoh PKP membuktikan bahawa kita tidak lagi boleh menggunakan takrifan kabur mengenai tahap keperluan sesuatu sektor ekonomi sebagai kayu ukur untuk diberikan kebenaran terus beroperasi.

"Sebaliknya, kebenaran beroperasi haruslah diberikan berdasarkan penilaian saintifik ke atas risiko penyebaran jangkitan dalam sektor ekonomi tersebut.

"Dengan pendekatan ini, SOP akan terarah kepada usaha-usaha mengurangkan risiko jangkitan di tempat kerja seperti meningkatkan kualiti pengudaraan di ruang tertutup.

"Penilaian risiko secara saintifik ini juga akan membenarkan Malaysia untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi berisiko secara berperingkat dan seterusnya membolehkan lebih banyak peruntukan disalurkan untuk membantu sektor-sektor ekonomi berisiko tinggi mewujudkan ruang kerja kalis pandemik," kata mereka.

Memetik kenyataan Pusat Pengendalian Penyakit AS (CDC), jawatankuasa itu sekali lagi menggesa kerajaan berbelanja dan melabur untuk meningkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan awam serta mewujudkan ruang kalis pandemik.

Kata mereka, selain meningkatkan kadar pemberian vaksin kebangsaan, kerajaan perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM15 bilion dalam bentuk geran, pembiayaan mudah dan insentif cukai untuk mewujudkan ruang kerja, kilang dan kuarters pekerja yang kalis pandemik.

"Kerajaan juga perlu mewajibkan ujian saringan bersubsidi di tempat kerja secara berkala sebagai langkah pencegahan awal membendung penularan wabak serta meningkatkan peruntukan untuk menambahkan kapasiti perkhidmatan kesihatan awam demi menangani wabak Covid-19 dan varian-varian baru virus tersebut," kata mereka.

Lihat Komen
ADS