Husam: Umno gagal bela nasib orang Melayu
Jika rakyat menerima statistik yang diberikan oleh kerajaan mengenai pencapaian bumiputera dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB), bermakna Umno telah gagal membela nasib orang Melayu, kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.
Jika rakyat menerima statistik yang diberikan oleh kerajaan mengenai pencapaian bumiputera dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB), bermakna Umno telah gagal membela nasib orang Melayu, kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.
Beliau mengulas pendirian kerajaan mempertahankan angka rasmi Unit Perancang Ekonomi (EPU) bahawa pencapaian ekonomi orang Melayu baru 18.9 peratus, berbanding sasaran 30 peratus di bawah DEB, bagi menolak kajian Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (Asli) yang menganggarkan angkanya di sekitar 45 peratus.
"Umno bertegas mempertahankan matlamat DEB belum dicapai. Ini membuktikan Umno gagal, jadi apa perlunya orang Melayu terus menyokong sebuah parti yang gagal membela nasib mereka," tambahnya.
Beliau juga melahirkan rasa harian mengapa kali ini para pemimpin Umno bermati-matian mempertahankan kegagalan DEB dan mahu semua orang percaya dasar itu telah gagal.
"Lazimnya, Umno mendabik dada ia berjaya di semua segi, tetapi kali ini tidak," ujarnya ketika dihubungi hari ini.
Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan berkata, pemimpin Umno bertegas, matlamat 30 peratus penguasaan ekuiti bumiputera belum tercapai sekalipun DEB sudah lama berakhir.
Husam menambah, rakyat tidak boleh mengharap Umno akan berjaya meningkat ekonomi orang Melayu pada masa depan selagi ia tidak mengubah pendekatannya.
Diskriminasi politik
Sementara itu, di dalam blognya , Husam menyatakan antara sebab utama kegagalan DEB ialah dasar sempit "Umnoputera".
"Sebagai orang Melayu yang bukan ahli Umno, pada saya, sebab terbesar Umno gagal ialah kerana diskriminasi politik yang diamalkan oleh Umno ke atas orang Melayu sendiri. Diskriminasi ke atas Melayu yang bukan ahli Umno.
"Kekayaan pintas inilah yang menjadi tumpuan Umno sedangkan majoriti bumiputera lain terkial-kial di takuk lama," jelasnya.
Menurutnya, di bawah dasar itu, hanya orang Melayu yang menjadi ahli Umno sahaja layak diberikan peluang ekonomi, lazimnya melalui jalan pintas yang kemudiannya menghasilkan fenomena kronisme dan nepotisme.
Beliau mendakwa, entiti milik kerajaan diswastakan kepada individu terpilih dan selepas mereka 'menghisap' segala kekayaan melalui syarikat yang diserahkan kepada mereka, kerajaan diminta menyelamatkan syarikat-syarikat ini.
Husam juga mendakwa, Umno mahu terus mempertahankan angka pencapai ekonomi 18 peratus itu untuk membolehkan mereka terus mengamalkan kronisme dalam pembahagian kekayaan negara.

