Ucapan Deepavali: Mohd Fauzi mohon maaf
Ketua Jabatan Syariah Takaful Malaysia, Fauzi Mustaffa hari ini memohon maaf dan menarik balik kandungan emelnya awal bulan ini yang melarang kakitangannya membuat ucapan selamat untuk perayaan seperti Deepavali, Durga Pooja dan Laksmi Pooja.
Ketua Jabatan Syariah Takaful Malaysia, Fauzi Mustaffa hari ini memohon maaf dan menarik balik kandungan emelnya awal bulan ini yang melarang kakitangannya membuat ucapan selamat untuk perayaan seperti Deepavali, Durga Pooja dan Laksmi Pooja.
Dalam satu kenyataan dua perenggan hari ini, Mustaffa berkata: "Saya ingin menegaskan bahawa emel berkenaan merupakan pandangan peribadi saya dan bukannya pandangan rasmi Takaful Malaysia.
"Merujuk juga kepada pandangan Mufti Perak Darul Ridzuan (Datuk Seri Harussani Zakaria) seperti yang disiarkan oleh akhbar The New Straits Times bertarikh 15 Oktober 2006, saya dengan ini ikhlas memohon maaf kepada semua pihak sekiranya kandungan emel berkenaan telah mengguris dan menyinggung perasaan sesetengah pihak dan dengan ini menarik balik kandungan emel berkenaan."
Petang tadi delegasi DAP yang diketuai oleh Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Malaysia, Md Azmi Abu Bakar berhubung perkara tersebut.
Pertemuan tersebut berakhir kira-kira jam 3 petang dan disusuli oleh penghantaran kenyataan Mohd Fauzi itu yang difaks ke pejabat DAP pada jam 4 petang tadi.
Dikritik hebat
Ketua Jabatan Perhubungan Awam Takaful Malaysia Lokman Abdul Rahman mengesahkan penghantaran faks tersebut.
Tindakan Fauzi mengedarkan emel tersebut diselar beberapa pihak termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Abdullah Md Zin dan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam (IKIM) Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas.
Deepavali tahun ini akan disambut pada 21 Oktober ini. Minggu lalu, Takaful Malaysia telah memohon maaf berhubung e-mel yang ditulis oleh Fauzi itu.
Dalam kenyataan yang dimuatkan dalam lamanweb rasminya, syarikat insurans itu memohon maaf sekiranya emel tersebut telah mencetuskan kekeliruan dan salahfaham.
Ia menjelaskan emel tersebut adalah untuk edaran dalaman dan merupakan satu nasihat atau pandangan peribadi kepada kakitangannya sahaja.
Sementara itu dua laporan polis telah dibuat terhadap Takaful Malaysia berhubung kontroversi ini. Pemimpin DAP, A Sivanesan membuat laporan di balai polis Brickfields petang semalam manakala Hindu Sangam Malaysia (MHS) membuat laporan pada Jumaat lalu.

