Abdullah sedia jumpa Dr M sebelum hari raya
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersetuju bertemu Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum Hari Raya Aidilfitri ini dan berharap pertemuan itu akan membawa kebaikan kepada semua.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersetuju bertemu Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum Hari Raya Aidilfitri ini dan berharap pertemuan itu akan membawa kebaikan kepada semua.
Perdana Menteri berkata tiada syarat dikenakan pada pertemuan empat mata itu. Bagaimanapun beliau enggan menyatakan tarikh dan tempat pertemuan itu.
"Ia pertemuan saya dan dia sahaja. Pihak ketiga tak payahlah," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Perdana Menteri Thailand yang baru Surayud Chulanont di Putrajaya.
Menurut laporan Bernama, Abdullah berkata beliau tidak akan membangkitkan apa-apa isu dalam pertemuan itu.
Pertemuan kedua-dua tokoh itu hasil cadangan Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) bagi meredakan ketegangan dalam hubungan antara mereka.
Semalam Dr Mahathir menyatakan persetujuannya bersemuka dengan Abdullah dalam tempoh terdekat bagi meredakan ketegangan hubungan mereka.
Bangkit pelbagai isu
Bekas Perdana Menteri itu berkata beliau juga bersetuju sekiranya pertemuan hendak diadakan sebelum ketibaan Hari Raya Aidilfitri minggu depan.
"Saya setuju. Nak tentu masa. (Sebagai) PM (Perdana Menteri) dia kerja banyak," kata Dr Mahathir kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin masyarakat Islam dari selatan Thailand di Resort Kampung Tok Senik di Langkawi semalam.
Dr Mahathir berkata, beliau akan membangkitkan semula, dalam pertemuan tersebut, apa yang terbuku dalam hatinya selama berada di luar kerajaan.
"Terpulang kepada Perdana Menteri (untuk menerimanya atau sebaliknya)," katanya.
Ditanya apakah antara perkara yang akan dibangkitkan beliau kelak, Dr Mahathir berkata: "Tunggulah pada hari pertemuan itu".
Apabila ditanya lagi sama ada beliau akan mengungkit semula perkara-perkara yang pernah dibangkitkannya sebelum ini, Dr Mahathir menjawab: "Yang tu lah..."
Dr Mahathir sebelum ini mengkritik kepimpinan Abdullah ekoran beberapa keputusannya termasuk pembatalan jambatan indah bagi menggantikan Tambak Johor yang menghubungkan Malaysia dan Singapura.

