Anak Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS, Nik Adli Nik Aziz yang telah ditahan selama lima tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)telah dibebaskan hari ini, beberapa hari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Dipercayai dia dibebaskan bersama lima lagi anggota Kumpulan Militan Malaysia (KMM).

Difahamkan kira-kira pukul 5 petang tadi Nik Adli (foto kiri) telah sampai di balai polis Kota Bharu manakala dua orang lagi anggota KMM, telah sampai ke rumah mereka di Sepang dan Rawang.

Sementara itu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengesahkan telah menandatangani surat pembebasan Nik Adli.

"Dah sign dah," kata Perdana Menteri pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri baru Thailand Surayud Chulanont di Putrajaya.

Nik Adli, 38, bekas guru di Sekolah Menengah Agama Darul Anwar, Pulau Melaka di Kota Baharu, ditahan mengikut Seksyen 73(1) ISA pada 4 Ogos 2001 kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan pergerakan Kumpulan Militan Malaysia (KMM).

Apabila ditanya wartawan bila Nik Adli dibebaskan, Aabdullah yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri berkata; "Sabarlah. Pi (pergi) Kota Baharu, tunggu ambil gambar dia, jumpa ayah dia nanti," katanya.

Sehingga ini, tidak jelas sama ada lebih ramai tahanan ISA akan dibebaskan dalam tempoh beberapa hari ini.

Sementara itu Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Fu Ah Kiow mengesahkan beberapa tahanan ISA akan dibebaskan, kemungkinan besar sebelum Hari Raya Aidilfitri yang disambut umat Islam minggu depan.

"Saya tahu beberapa orang tahanan akan dibebaskan, tetapi saya tidak pasti jumlah sebenarnya," kata Fu kepada malaysiakini.

Menurutnya, keputusan untuk membebaskan tahanan tersebut adalah dalam bidangkuasa Abdullah selaku Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Dihantar ke Bukit Aman

Spekulasi mengenai pembebasan tahanan ISA itu tercetus awal minggu ini selepas Nik Adli, 38, bersama enam orang lagi tahanan ISA dibawa ke Pusat Reman Polis (PRC) di Bukit Aman Isnin lalu.

Kebiasaannya kesemua tahanan ISA akan dibawa ke PRC terlebih dahulu bagi persiapan terakhir sebelum dibebaskan.

Sebelum itu, kumpulan pertama seramai 11 tahanan yang ditahan kerana dipercayai ada kaitan dengan rangkaian keganasan Jemaah Islamiah yang dikaitkan dengan al-Qaeda telah dibawa ke PRC Sabtu lalu.

Majoriti mereka ditahan lebih empat tahun, manakala sebahagiannya telah selesai menjalani tempoh tahanan selama lima tahun.

Polis sejak 2001 telah melancarkan tiga fasa penangkapan anggota KMM apabila didapati kumpulan itu mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI) di Singapura dan Indonesia, yang bermatlamat menjatuhkan kerajaan secara kekerasan atas nama jihad.

Dalam tempoh itu, kira-kira 70 orang ditahan di bawah ISA kerana terlibat dengan aktiviti KMM antaranya termasuk beberapa pensyarah universiti tempatan dan kalangan profesional.

Menteri Keselamatan Dalam Negeri mempunyai kuasa untuk menandatangani perintah penahanan atau pembebasan tahanan ISA. Perintah penahanan tersebut boleh disambung setiap dua tahun.

Difahamkan, para tahanan berkenaan menjalani pemeriksaan perubatan di Kem Tahanan Kamunting sebelum dihantar ke Kuala Lumpur.

'GMI rancang protes'

Peguam mereka, Latheefa Koya, berkata kerajaan mesti menyatakan secara jelas sama ada tahanan tersebut akan dibebaskan atau tidak. Latheefa juga merupakan peguam bagi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

Menurutnya, AIM merancang mengadakan bantahan di Bukit Aman Jumaat ini untuk meningkatkan tekanan supaya tahanan tersebut dibebaskan. Demonstrasi yang sama juga akan diadakan di Masjid Negara, dekat Bukit Aman.

Latheefa juga menegaskan, 60 daripada 90 tahanan tersebut telah ditahan melebihi tempoh empat tahun manakala 10 orang lagi sudah melebihi lima tahun.

ISA digubal pada 1960 untuk membendung ancaman komunis, tetapi kemudiannya digunakan terhadap mereka yang tidak sehaluan dengan kerajaan.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) telah mendesak supaya akta tersbut dimansuh dan digantikan dengan undang-undang yang lebih jelas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz, selaku Pengerusi Kakus Parliman bagi Hak Asasi Manusia berkata, tahanan ISA yang telah ditahan lebih daripada dua tahun patut dibebaskan segera atau didakwa di mahkamah.