BERITA Malaysiakini

Rais: Teguran Mufti Perak rumitkan kerajaan

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim menyifatkan beberapa teguran Mufti Perak berhubung perkara berkaitan agama Islam telah merumitkan kerajaan.

Menurutnya sudah banyak kali Datuk Seri Harussani Zakaria membuat teguran yang boleh mengelirukan, memecahkan keharmonian dan mempengaruhi masyarakat.

"Teguran yang dibuat mufti itu bukan sahaja pada masa ini, malah sebelum ini juga, yang kadangkala begitu merumitkan kerajaan tetapi tidak ada pihak yang berani menjawabnya," katanya kepada media selepas majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan di Kampung Bandar Tinggi, Jelebu malam tadi.

Terbaru Harussani menegur program hiburan berunsur maksiat termasuk menggabung nama Aidilfitri dengan konsert telah mencemar kesucian Ramadan.

Rais berkata, soal sama ada acara program hiburan menyambut Aidilfitri bercanggah atau tidak dengan Islam perlu diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan bukannya oleh mana-mana individu.

"Ini perkara berat, sedangkan beliau tidak menyebut satu persatu... adakah nyanyian atau gerak geri yang menggila. Kalau gerak-geri yang menggila, saya akur dan boleh kemukakan supaya ia tidak dilakukan."

"Soalnya, yang ditegur itu tarian mana, lagu mana yang bercanggah,"tambahnya.

Pendapat peribadi

Rais berkata teguran seperti itu sudah diambil ingatan oleh kabinet tetapi pihak menegur itu selalu menggunakan isu politik dengan berselindung di sebalik nas keagamaan.

"Seperti mana juga sesuatu nas undang-undang, ia tidak boleh diputuskan oleh cerdik pandai undang-undang semata-mata, tetapi ia harus diputuskan oleh proses pentadbiran undang-undang khususnya mahkamah," katanya.

Rais berkata kementerian berpendapat kenyataan Harussani itu datang daripada seorang individu dan bukan pandangan daripada seorang mufti yang tertakluk kepada Majlis Fatwa.

"Kalau setiap orang mufti di Malaysia beri pandangan, macam mana jadinya," katanya.

Dalam perkembangan lain Bernama melaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, konsep "kongsi raya" yang diamalkan di negara ini tidak mencemar kesucian agama Islam.

Abdullah berkata ia juga tidak ada langsung membabitkan perlanggaran akidah umat Islam.

"Kongsi raya atau raya bersama bukan bermakna segala adat dan aspek agama Islam dan Hindu hendak dicampuradukkan," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya dan Deepavali kepada kakitangan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Deepavali dan Aidilfitri

"Ia bukan seolah-olah yang bukan Islam pergi ke masjid manakala yang beragama Islam pula pergi ke Candi (kuil)," tambahnya.

Perayaan Deepavali akan disambut Sabtu ini manakala umat Islam dijangka menyambut Aidilfitri pada Selasa atau Rabu depan.

Beliau berkata memandangkan kedua-dua perayaan itu disambut dalam tempoh yang hampir antara satu sama lain maka bersama-samalah rakyat Malaysia merayakannya.

"Dari segi hubungan sosial, ini bukan satu masalah kepada kita untuk pergi ke rumah sababat kita yang beragama Hindu yang menyambut Deepavali. Dulu masa tak ada istilah " kongsi raya" pun kita pergi juga, tak ada masalah, ataupun dia datang ke rumah kita sambut Aidilfitri, tak ada masalah langsung."

"Harap-harap tak ada apa-apa kekeliruan berkaitan perkara ini dengan cakap-cakap yang menimbulkan kekeliruan seolah-olah orang Islam dah langgar akidah," katanya.