Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ketua bahagian nafi cawangan Bersatu yang Hamzah jadi ahli dibubarkan

Ketua bahagian Bersatu Larut, Mohd Hassuandi Hamzah menafikan dakwaan bahawa Cawangan Bersatu Sungai Bayur di mana Setiausaha Agung parti itu Hamzah Zainuddin menjadi ahli dibubarkan.

Ini selepas ketua cawangannya, Ahmad Zainian Mohd Shohor bersama ahli jawatankuasanya mengumumkan keluar Bersatu dan menyertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang diterajui Ibrahim Ali.

"Tidak, cawangan itu tidak dibubarkan. Timbalannya telah mengambil alih dan dilantik sebagai pemangku.

"Ketika saya dilantik sebagai ketua bahagian pada tahun 2018, bahagian Bersatu Larut hanya mempunyai dua cawangan sahaja. Kini mempunyai 50 cawangan.

"Tidak ada isu dalaman. Saya cuma menstruktur semula bahagian dan terpaksa melucutkan beberapa jawatan lantikan di mana Haji Zainian adalah salah seorang daripadanya.

"Jadi, dia meninggalkan Bersatu dan menyertai parti lain. Saya menghormati keputusan beliau keluar dari Bersatu," kata Mohd Hassuandi kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Ahmad Zainian mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa dia telah meninggalkan Bersatu dan memohon menyertai Putra.

"Ya, saya bersama AJK (sembilan orang) dari cawangan itu keluar daripada Bersatu dan memohon untuk menyertai Putra.

"Kami mengambil keputusan untuk keluar parti kerana isu dalaman bahagian Bersatu Larut yang tidak dapat diselesaikan," katanya.

Zainian merupakan pengasas cawangan itu yang ditubuhkan selepas PRU14.

Untuk rekod, Hamzah merupakan Ahli Parlimen Larut yang menang atas tiket Umno, namun menyertai Bersatu pada tahun 2018 selepas Kerajaan BN ditumbang kepada Pakatan Harapan pada PRU14.

Dia menjadi ahli di cawangan Sungai Bayur, sebelum dilantik menjadi Menteri Dalam Negeri di bawah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada tahun 2020.

Setiausaha Bersatu Perak, Zainol Fadzi Paharudin ketika dihubungi berkata dia tidak dimaklumkan mengenai pembubaran cawangan itu.

"Saya tidak menerima apa-apa maklumat.

"Maaf, saya tidak dapat memberi komen," katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Putra Perak, Hasbullah Alias mengesahkan permohonan Ahmad Zainian untuk menyertai parti itu.

"Ya, saya boleh sahkan, ketua cawangan Bersatu Sungai Bayur, saudara Ahmad Zainian telah meminta untuk menyertai parti Putra," katanya kepada Malaysiakini.

Hasbullah yang juga ketua bahagian Putra Larut berkata hampir 100 borang permohonan daripada bekas ahli Bersatu telah diserahkan kepada presidennya.

"Kami mendapati mereka kecewa kerana krisis dalaman Bersatu dan telah memohon untuk menjadi ahli Putra kerana tertarik dengan ketelusan perjuangan parti kami," katanya

Lihat Komen
ADS