Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Noor Azmi harap tiada lagi gangguan seksual di PPV
Diterbitkan:  Jul 21, 2021 8:44 PM
Dikemaskini: 12:45 PM

Timbalan Menteri Kesihatan I, Noor Azmi Ghazali berharap insiden gangguan seksual tidak lagi berlaku di pusat pemberian vaksin (PPV).

Ini selepas seorang wanita membuat laporan polis berhubung gangguan seksual yang dialaminya semasa mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di Johor Bahru baru-baru ini.

Bercakap kepada wartawan di Perak hari ini, Noor Azmi menasihatkan petugas di PPV untuk berkhidmat kepada orang ramai dengan niat yang murni.

"Saya harap perkara ini tak lagi berlaku.

"Saya dengar pun saya rasa sedih sebab ini boleh menakutkan ramai orang kalau benda macam ni berlaku.

"Jadi pada semua yang mengambil bahagian sebagai petugas, sama ada dari agensi kementerian KKM, daripada NGO dan sebagainya, kita jagalah nawaitu kita, kita jagalah akhlak kita.

"Kita datang semua sini dengan nawaitu yang satu untuk kita bekerjasama bersatu hati berusaha untuk melenyapkan masalah pandemik Covid-19.

"Kita bekerja sama semua orang tanpa mengira apa bangsa apa agama dan sebagainya. Jadi kita tak boleh ada nawaitu yang lain," jelasnya ketika melakukan kunjungan ke PPV Sungai Siput.

Dia menambah tindakan mesti diambil sekiranya terbukti berlaku gangguan seksual seperti yang didakwa.

Malaysiakini memperoleh rakaman audio pada sidang media tersebut.

Pada Ahad lalu, Jaw Keyun, 32 mendakwa seorang anggota keselamatan membuat jenaka dan isyarat lucah terhadapnya ketika dia datang untuk temu janji mendapatkan vaksin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di Johor Bahru. 

Dia kemudian memberitahu suaminya mengenai perkara itu dan membuat laporan polis.

Polis Johor Bahru Selatan sedang menyiasat kes berkenaan.

Lihat Komen
ADS