mk-logo
Berita
Kadir Jasin: Sudah 'sah' Umno kini kembali berkuasa
Diterbitkan:  Jul 22, 2021 9:56 AM
Dikemaskini: 2:11 AM

Bayangan bahawa Umno kini sudah kembali berkuasa dalam kerajaan semakin jelas, kata bekas penasihat media kepada perdana menteri A Kadir Jasin.

Menurut bacaan wartawan veteran itu, hakikat tersebut disahkan dengan kedatangan Najib Razak ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk bertemu Ismail Sabri Yaakob semalam.

Ismail Sabri ialah naib presiden Umno yang dilantik menjadi timbalan perdana menteri oleh Muhyiddin Yassin pada 7 Julai lalu, iaitu beberapa jam sebelum parti itu mengumumkan pendiriannya untuk menarik balik sokongan ahli parlimen mereka daripada perdana menteri.

Kata A Kadir dengan pelantikan Ismail Sabri itu, kini pemimpin Umno yang berkuasa pada zaman sebelum kejatuhan BN kembali berkumpul dan berkuasa.

Kunjungan hormat Najib kepada Ismail Sabri, katanya, "mengesahkan" segala-galanya.

"Secara de facto, Umno is back in power (Umno kini kembali berkuasa) dan jalan ke Sungai Buloh (penjara) mungkin nampak semakin pudar, dan harapan lepas bebas semakin cerah bagi para anggota kluster mahkamah Umno. Wallahu a'lam," katanya di media sosial.

Bermula tanpa melantik timbalan perdana menteri apabila kerajaan Perikatan Nasional diwujudkan selepas Langkah Sheraton, Muhyiddin akhirnya mengisi tempat itu dengan memberikan jawatan tersebut kepada salah seorang menteri kanan.

Sebelum ini Ismail Sabri merupakan menteri pertahanan, sekali gus menteri kanan bersama Azmi Ali, Radzi Jidin dan Fadillah Yusof. Kecuali Fadillah, menteri kanan lain merupakan ahli Bersatu yang diketuai Muhyiddin.

Kata A Kadir apa yang berlaku sekarang adalah kesudahan Sheraton Move (Langkah Sheraton) yang akhirnya meletakkan Muhyiddin, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin; Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Azmin sebagai boneka.

Bekas ketua pengarang The New Straits Times Press (M) Bhd itu juga mendakwa apa yang terjadi itu merupakan konspirasi Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bersama beberapa pemimpin parti itu yang sedang berdepan pertuduhan di mahkamah.

"The show of force atau pertunjukan kuasa oleh Umno telah bermula dengan siri kunjungan hormat kepada Ismail Sabri oleh pemuka-pemuka parti itu bermula dengan ketua pemudanya, Asyraf Wajdi Dusuki, pada 9 Julai lalu," katanya.

Menurut A Kadir, kunjungan Asyraf Wajdi untuk menyerahkan memorandum Tuntutan Rakyat itu juga merupakan simbolik Umno yang tidak mengiktiraf Muhyiddin sebagai pemimpin negara.

"Simbolisme yang amat powerful. Dia tidak menyerahkan tuntutan itu kepada Muhyiddin walaupun Muhyiddin adalah perdana menteri," katanya. 

Najib merupakan ahli parlimen Pekan, manakala Ismail Sabri menjadi wakil rakyat bagi kawasan Bera. Kedua-dua kawasan itu terletak di Pahang.

Lihat Komen
ADS