Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KATA MP | Ada apa dengan pembukaan tergesa-gesa sekolah?

Saya mengambil maklum pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung perancangan mereka membuka semula sekolah di seluruh negara mulai 1 Sept ini.

Seperti biasa, KPM di bawah kepimpinan menteri kanan dan dua timbalannya masih membuat keputusan 'pukul rata' untuk semua sekolah di seluruh negara tanpa mengemukakan data saintifik dan mengambil kira isu perbezaan keperluan di antara sekolah di bandar, luar bandar dan pedalaman.

Saya telah dihubungi ramai pihak - sama ada golongan pendidik, pejabat pendidikan daerah (PPD), jabatan pendidikan negeri (JPN), malah kalangan ibu bapa - berhubung keputusan tergesa-gesa KPM itu. Kebanyakan mereka menzahirkan kerisauan pada perkara-perkara berikut:

1. Kes jangkitan baru dan tahap kematian akibat Covid 19 masih berada di tahap yang tinggi (lima angka selama berminggu-minggu) dan akan mengambil masa untuk turun serta stabil rendah. Majoriti ibu bapa dalam keadaan bimbang untuk melepaskan anak-anak mereka ke sekolah.

Bagi pihak ibu bapa, kesihatan dan nyawa anak-anak murid sepatutnya menjadi keutamaan KPM memandangkan sehingga kini murid-murid bawah 18 tahun tidak akan divaksinkan.

2. Hari persekolahan sehingga akhir 2021 berbaki hanya dua bulan saja lagi sebelum tamat. Keputusan membuka persekolahan akan melibatkan persiapan anak-anak untuk pergi ke sekolah semula.

Ia memerlukan kos tambahan kepada ibu bapa. Keputusan ini akan menyusahkan ramai ibu bapa yang masih bergelut dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu khususnya dalam kategori B40 dan yang kehilangan pekerjaan.

3. KPM hanya mengumumkan pembukaan semula sekolah pada 1 Sept tanpa membentangkan secara rinci akan gerak kerja lengkap SOP yang teratur dan diyakini berkesan berdasarkan sains dan data.

Ramai ibu bapa dan guru bimbang pengumuman KPM itu akan mengulangi kesilapan pembukaan sekolah pada April lalu sehingga banyak sekolah akhirnya terpaksa ditutup selepas dua minggu dibuka.

Akibatnya, pembelajaran anak-anak lebih terganggu akibat keputusan yang flip flop ini.

Gambar hiasan

4. Ramai guru juga tertanya-tanya mengapakah KPM perlu tergesa-gesa mengumumkan pembukaan sekolah sedangkan JPN, PPD dan guru-guru telah melakukan banyak penambahbaikan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sepanjang 16 bulan lalu dan keputusan SPM 2020 menunjukkan ia boleh dilaksanakan.

5. Ramai ibu bapa bertanya, apakah rasional keputusan KPM tergesa-gesa membuka sekolah pada 1 Sept sedangkan program agihan 150,000 komputer masih belum selesai untuk membantu murid miskin?

Apakah pengumuman pembukaan itu sekadar menjadi alasan untuk tidak menyelesaikan baki agihan komputer yang dijanjikan itu?

Bagaimanapun, saya berpandangan ramai guru dan ibu bapa boleh bersikap rasional untuk bersetuju sekolah dibuka semula dengan beberapa syarat:

1. KPM mestilah membentangkan terlebih dahulu SOP khas untuk pelajar dikategorikan nonvaksin di dalam kawasan sekolah dan di luar kawasan sekolah berdasarkan sains dan data.

2. KPM perlu selesaikan proses vaksinasi kepada semua guru dan pekerja sekolah tanpa terkecuali. Keselamatan dan kesejahteraan guru dan pekerja sekolah - termasuk kakitangan kantin dan pengawal keselamatan - perlu diberikan keutamaan dalam apapun keputusan yang diambil.

3. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengkaji semula untuk membenarkan program vaksinasi kepada pelajar kelas peperiksaan SPM, STAM (Sijil Tinggi Agama Malaysia) dan STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) secara sukarela.

Gambar hiasan

Ramai ibu bapa yang boleh bersetuju dengan keputusan untuk membenarkan anak-anak kembali ke sekolah jika anak-anak mereka menerima vaksin.

4. Hanya murid yang ahli keluarga mereka telah divaksin (sekurang kurangnya dos pertama) saja dibenarkan ke sekolah untuk mengelakkan wujudnya kluster sekolah.

5. KPM harus berbincang dengan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) dan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM), persatuan-persatuan ibu bapa dan guru, dan Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) sebelum mengambil apa-apa keputusan berhubung isu berkenaan.

6. Jika KPM bertegas ingin semua sekolah dibuka, pastikan ia dilakukan secara berfasa dengan keutamaan diberikan kepada

(a) sekolah-sekolah luar bandar dan pedalaman yang muridnya kurang,

(b) disusuli sekolah-sekolah di kawasan hijau,

(c) kemudian barulah pembukaan sekolah di kawasan yang kadar penerima vaksin melebihi had imuniti kelompok.

Pembukaan serentak di seluruh negara dikhuatiri hanya akan mengulangi kluster sekolah seperti sebelum ini.

7. Jadual persekolahan bergilir-gilir juga perlu dilaksanakan selain daripada SOP yang ketat bagi sekolah-sekolah yang padat demi mengelakkan ia mengulangi insiden kluster sekolah sekali lagi.

Sebagai contoh: bagi sekolah rendah tahap satu ialah pada Isnin dan Rabu, manakala tahap dua pada Selasa dan Khamis; bagi sekolah menengah pula tingkatan satu dan dua pada Isnin dan Rabu, tingkatan tiga dan empat pada Selasa dan Khamis, atau apa yang terbaik menurut pertimbangan pihak sekolah demi mengurangkan bilangan pelajar dalam sekolah setiap hari.

Gambar hiasan

Bagi calon SPM dan STPM pula, sesi persekolahan mereka janganlah diganggu.

8. Murid-murid tahap satu di sekolah rendah (darjah satu sehingga tiga) boleh kembali ke sekolah dengan pemantauan SOP yang lebih ketat. Bilangan murid di dalam kelas mesti dikecilkan dan waktu persekolahan dipendekkan. Banyakkan waktu untuk mereka berada di luar kelas dan di tempat terbuka sepanjang sesi persekolah seperti yang disyorkan ramai pakar perubatan.

Mereka ini perlu diutamakan untuk kembali ke sekolah demi mengelakkan keciciran di peringkat rendah.

9. Apa yang utama ialah apa sahaja keputusan yang diambil oleh KPM, kuasa autonomi hendaklah diberikan kepada pihak sekolah untuk merangka apa yang terbaik dengan keadaan lokaliti mereka berdasarkan panduan dari semua pemegang taruh dan juga MKN.

Seperkara lagi yang penting ialah kerajaan perlu sedar, di kala ini defisit kepercayaan dalam kalangan rakyat terhadap KPM terlalu serius dan parah.

Malah dalam kalangan guru-guru pun, tekanan yang mereka hadapi amat membimbangkan. Hal yang seumpamanya juga dialami oleh ibu bapa dan murid-murid kerana tiadanya perancangan dan perlaksanaan yang strategik serta tersusun oleh KPM.

KPM perlu bertindak lebih bijak, cermat berstrategi serta telus kali ini. Pendidikan bukanlah sesuatu untuk dipolitikkan. Pendidikan anak-anak merupakan masa depan negara, maka lakukanlah dengan penuh amanah dan professional.


MASZLEE MALIK ialah ahli parlimen Simpang Renggam dan bekas menteri pendidikan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS